PETALING JAYA: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengarahkan semua syarikat konsesi lebuh raya menghentikan kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan yang melibatkan penutupan lorong bermula kelmarin sehingga 7 Mei nanti.
Menurut LLM, ia bagi memastikan kelancaran aliran trafik dan mengurangkan kesesakan di lebuh raya sempena perayaan Aidilfitri.
Katanya, langkah itu juga diharapkan dapat meminimalkan kesan peningkatan trafik bagi kenderaan yang menggunakan tiga lebuh raya utama iaitu Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), Lebuh Raya KL- Karak dan Lebuh Raya Pantai Timur 1 yang dijangka meningkat sehingga 2.3 juta kenderaan sehari.
“Selain itu, LLM juga mengarahkan syarikat konsesi mengeluarkan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi pengguna Lebuh Raya Utara Selatan, Lebuh Raya KL-Karak, Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 bagi membantu pengguna merancang perjalanan.
“Penggunaan papan tanda elektronik (VMS) bagi memaparkan maklumat trafik serta memperingatkan pengguna bagi memastikan baki nilai Touch ‘n Go’ atau e-Dompet mencukupi sebelum memulakan perjalanan,” katanya dalam kenyataan.
PETUGAS
LLM berkata, semua syarikat konsesi juga diminta menempatkan petugas di plaza-plaza tol untuk membantu pengguna dalam memastikan kelancaran pergerakan trafik semasa inisiatif tol percuma berkuat kuasa.
Selain itu, mereka disaran memastikan semua sistem dan operasi di plaza tol berjalan lancar bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol, selain penambahan lorong tol di beberapa plaza tol yang dikenal pasti mempunyai trafik yang tinggi.
“Seterusnya, penggunaan bahu jalan sebagai lorong tambahan di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti di Lebuh Raya Utara-Selatan supaya aliran trafik yang lebih lancar terutamanya di kawasan-kawasan hotspot kesesakan dan kawasan mendaki dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM),” ujarnya.
Sementara itu, LLM juga mahu memastikan syarikat konsesi menyediakan anggota Emergency Response Team (ERT) yang secukupnya bagi mempercepatkan tempoh tindakan untuk menangani sebarang insiden yang berlaku di lebuh raya.
Jelas LLM, syarikat konsesi juga diarah menyediakan kemudahan tambahan bagi tempat letak kereta dan tandas mudah alih di beberapa Kawasan rehat dan rawat di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan dan Lebuh Raya Pantai Timur 2.- UTUSAN