Kereta terbakar, lelaki curi telefon diberkas

Kereta terbakar, lelaki curi telefon diberkas

KEADAAN kereta yang dinaiki suspek  selepas terbabas dan terbakar ketika melarikan diri di Pasir Pekan Tengah, Pohon Tanjung, Wakaf Bharu, Kelantan-IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Seorang lelaki diberkas apabila kereta yang dinaikinya terbabas sebelum terbakar ketika melarikan diri selepas mencuri sebuah telefon pintar milik pekerja di kedai runcit di Pasir Pekan Tengah, Pohon Tanjung dekat Wakaf Bharu di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.09 malam itu, suspek yang berusia 36 tahun diberkas manakala rakannya sempat melarikan diri selepas kereta jenis Proton Saga BLM dinaiki mereka merempuh tembok jalan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Tan Seng Lee berkata, siasatan mendapati, suspek dipercayai datang ke kedai runcit itu dan berpura-pura hendak membeli ais.

Menurutnya, pekerja premis itu kemudiannya mengambil ais di dalam peti ais sebelum suspek melarikan sebuah telefon pintar miliknya yang berada di atas kaunter pembayaran.

“Orang awam yang menyedari kejadian itu mengejar kereta yang dinaiki suspek sehingga ia terbabas dan merempuh tembok konkrit sebelum terbakar.

“Salah seorang suspek berjaya meloloskan diri dari kereta terbabit manakala rakannya berjaya ditahan. Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine selain polis turut menjumpai sejumlah pil kuda pada badannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Seng Lee memberitahu, suspek juga mempunyai 12 rekod lampau berkaitan dadah, curi, pecah rumah dan samun selain merupakan orang yang dikehendaki bersabit dengan kes samun.

Katanya, polis sedang memburu seorang lagi suspek yang dikenali sebagai Amir Kutan dan orang ramai yang mengenali suspek diminta menghubungi segera balai polis berdekatan atau Sarjan Mohd. Hasnizan Ismail di talian 011-3167 13373.

“Suspek ditahan reman selama empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut mengikut  Seksyen 380 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN