KOTA BHARU: Kemarau yang sedang melanda negeri ini sejak awal Ramadan lalu dijangka akan menjejaskan kerja-kerja Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB) dalam membekalkan air bersih kepada pengguna sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
AKSB dalam satu kenyataan hari ini berkata, situasi itu dapat dilihat apabila Loji Rawatan Air (LRA) di Kelar, Pasir mengalami pengurangan air terawat sebanyak 17 juta liter sehari (JLH).
Menurutnya, LRA Chicha (Kota Bharu) turut terkesan dengan kemarau apabila penerobosan air masin di telaga pengumpul jejari Pasir Tumbuh yang menyebabkan kandungan chloride dalam air menjadi tinggi sekali gus pengambilan air sungai (surface water) terpaksa dihentikan.
“LRA Chicha ketika ini mengalami penyusutan lebih kurang 11 JLH. Pada masa sama, sebuah telaga yang runtuh di LRA Perol telah menyebabkan belakan air terawat mengalami kekurangan sebanyak 2 JLH.
“Bagi mengatasi penyusutan air mentah di LRA Kelar, kerja- kerja menggali terusan untuk menambah isipadu pengambilan air mentah daripada Telaga pengumpulan Jejari (HCW) Semuba, sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap menjelang Aidilfitri serta dapat menampung pengurangan sebanyak 17 JLH,” katanya.
AKSB memberitahu, pihaknya menyediakan sembilan buah lori tangki air milik AKSB dan 31 buah lori air kontrak di seluruh jajahan untuk mengisi air di tangki statik dan menghantar bekalan kepada pengguna yang menghadapi gangguan.
Katanya, pada masa sama sebanyak enam buah lagi lori tangki air kontrak bagi Kota Bharu Selatan, Kota Bharu Timur, Tumpat, Pasir Mas dan Bachok telah ditambah bagi melancarkan operasi.
“Untuk itu, kami (AKSB) telah memastikan lori-lori ini diselenggara dengan baik dan dapat beroperasi dengan sempurna semasa musim perayaan Hari Raya Aidilfitri kali ini.
“Kesemua LRA, selain daripada yang dinyatakan akan beroperasi dengan kapasiti maksima dengan keseluruhan pengeluaran air melebihi 500 JLH.-UTUSAN