PETALING JAYA: Tiga daerah di Kelantan dan dua daerah di Terengganu terus dilanda suhu panas antara 35 hingga 37 darjah Celcius hari ini.
Ia melibatkan Jeli, Tanah Merah dan Kuala Krai di Kelantan manakala Terengganu meliputi Kuala Terengganu dan Dungun.
“Penduduk di kawasan-kawasan tersebut diminta untuk mengurangkan aktiviti di luar rumah,” menurut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Satu lagi kawasan turut berada dalam status suhu panas berjaga-jaga adalah Nabawan di Sabah.
Sejak semalam, MetMalaysia mengeluarkan amaran bahawa beberapa kawasan akan dilanda suhu maksimum harian mencecah 35 hingga 37 darjah Celcius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Semalam, pihak berkuasa Thailand memberi amaran kepada penduduk di sebahagian besar kawasan di negara itu termasuk Bangkok supaya mengelak daripada berada di luar rumah disebabkan cuaca panas melampau.
SUHU
Menurut Jabatan Meteorologi Thailand, suhu mencecah 42 darjah Celsius di daerah Bangna di Bangkok, manakala indeks haba pula mencapai rekod setinggi 54 darjah Celsius.
Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand menjangkakan suhu melepasi bacaan 40 darjah Celsius di sekurang-kurang 28 wilayah.
Sementara itu, jurucakap kerajaan Thailand, Anucha Burapachaisri berkata, cuaca panas melampau meningkatkan penggunaan elektrik di Thailand.
Katanya, negara itu menggunakan lebih 39,000 megawatt pada 6 April lalu. – UTUSAN