Kelantan perlu pembangkang kuat supaya kerajaan negeri tidak lalai

Kelantan perlu pembangkang kuat  supaya kerajaan negeri tidak lalai

ASYRAF Wajdi Dusuki (kanan) semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Make Colek Bersama Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi), Kota Bharu, Kelantan malam tadi.-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kelantan memerlukan gabungan pembangkang yang kuat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi membolehkan kerajaan negeri tidak lalai dalam menjalankan tugas dengan baik kepada rakyat

Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pada PRN nanti rakyat perlu memberi lebih banyak mandat kepada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk menjadi pembangkang bagi membolehkan tugas semak dan imbang ke atas kerajaan negeri dengan lebih berkesan.

Menurutnya, kerajaan negeri ketika ini dilihat begitu selesa dengan mendapat mandat terlalu besar sehinggakan isu-isu melibatkan rakyat dipandang enteng atau sepi.

“Terlalu banyak isu-isu menyentuh soal rakyat Kelantan. Masalah air belum selesai ditambah pula masalah jalan-jalan, infrastruktur dan sebagainya. Saya kira kalau tiada pembangkang yang kuat secara fitrahnya kerajaan akan leka.

“Jadi kita mengharapkan kebijaksanaan pengundi-pengundi di Kelantan untuk memberi seberapa banyak peluang kepada BN dan PH di kerusi-kerusi ditandingi bagi memastikan berlaku semak dan imbang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Make Colek Bersama Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) di sini malam tadi.

Asyraf Wajdi memberitahu, BN bersikap realistik untuk PRN nanti dan beliau sendiri turut menggemakan rayuan daripada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi agar rakyat Kelantan melakukan perubahan.

Katanya, rayuan daripada Ahmad Zahid kepada rakyat Kelantan itu sebenarnya dibuat kerana merasa kasihan terhadap mereka yang sentiasa mengharapkan akan ada perubahan.

“Jadi kita nak merayulah kepada rakyat Kelantan untuk memberi peluang kepada BN dan PH memenangi seberapa banyak kerusi pada PRN nanti.

“Kalaupun tidak mahu BN dan PH mengambil alih kerajaan negeri tidak mengapa tetapi sangat penting untuk mempunyai pembangkang yang kuat demi memastikan berlakunya semak dan imbang dalam kerajaan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Asyraf yang juga Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan berkata, Jawatankuasa Pilihan Raya telah menetapkan lima parameter sebagai persediaan untuk berdepan PRN di Kelantan, Kedah, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan nanti.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan lima parameter berkenaan yang ditetapkan sebagai asas untuk jawatankuasa di peringkat negeri mengadakan perundingan.

“Apa yang boleh saya katakan sekarang adalah suasana dalam kalangan parti-parti politik di bawah naungan Kerajaan Perpaduan adalah amat harmoni serta terdapat keterbukaan untuk menerima dan memberi (give and take).

“Bagaimanapun objektif khusus untuk Kelantan adalah memastikan lebih banyak kerusi dimenangi oleh gabungan PH dan BN. Tujuan utamanya untuk memastikan kerajaan negeri tidak memandang enteng harapan rakyat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN