Kelantan FC tidak patut kalah-Bernhardt

Kelantan FC tidak patut kalah-Bernhardt

ISMAHEEL Akinade (tengah) cuba melapasi pertahanan pasukan Perak FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan malam tadi-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pengendali Kelantan FC Frank Bernhardt menegaskan The Red Warriors (TRW) tidak sepatutnya merekodkan kekalahan 2-3 kepada Perak FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi selepas bermain dengan begitu baik.

Bernhardt berkata, Kelantan FC bermula dengan baik apabila mendominasi perlawanan sepanjang 30 minit pertama sebelum dikejutkan oleh kesilapan individu yang telah memadamkan kelebihan awal yang dimiliki.

“Saya tidak pasti selepas itu di mana silapnya. Sama ada hilang kekuatan atau keseimbangan pasukan sehinggakan pasukan lawan boleh mengatur serangan seolah-olah kami langsung tidak wujud di atas padang.

“Di bilik persalinan kami beri penekanan agar pasukan perlu lebih berani ambil risiko dan meningkatkan tekanan. Ia berhasil dan kami dapat banyak peluang yang mana anak-anak kecil mampu menjaringkan gol tetapi gagal dimanfaatkan oleh pemain-pemain kami,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan malam tadi.

Bekas pengendali skuad bawah 23 tahun kebangsaan itu mengakui ketumpulan penyudah merupakan masalah utama dihadapi Kelantan pada ketika ini selain aspek kecergasan yang melihat ramai pemain mengalami keletihan menuju minit-minit akhir perlawanan.

“Ia tidak sepatutnya berakhir seperti ini. Kita mengemudikan perlawanan dengan baik tetapi tidak dapat mengutip hasil daripadanya. Banyak peluang gagal di manfaatkan dan akhirnya masa berlalu pergi. Sedar tidak sedar ia sudah terlambat buat kami.

“Ia sangat mengecewakan dan tiada apa dapat dilakukan selain meneruskan latihan serta membuat penambahbaikan dari semasa ke semasa sehinggalah kami dapat satu keputusan yang mampu merubah segalanya. Ia tidak mudah dan perjalanannya sangat sukar,” katanya.

Sementara itu pengendali Perak, Datuk Lim Tiong Kim tidak menyembunyikan rasa gembira dengan kemenangan diraih pasukannya yang akan diraikan dan dinikmati sebelum membuat persediaan untuk perlawanan akan datang.

Katanya, kemenangan itu tidak diraih dengan mudah kerana Kelantan selaku tuan rumah memastikan tiada laluan mudah buat Perak terutama melalui hantaran-hantaran jauh kepada penyerang-penyerang mereka yang bersosok tinggi lampai.

“Tidak mudah untuk kita menang. Jadi tahniah saya ucapkan kepada semua pemain yang bertahan dengan baik dan memanfaatkan setiap peluang diperoleh. Saya bangga dengan semua pemain bukan hanya untuk kemenangan ini malah untuk setiap perlawanan.

“Saya belum mahu bercakap mengenai persediaan pasukan untuk menghadapi perlawanan seterusnya. Berilah peluang kepada saya dan pasukan untuk meraikan tiga mata penuh ini terlebih dahulu,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya