KOTA BHARU : Kerajaan negeri menanggap jawapan ‘insya Allah’ sebagai respons terbaik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap semua perbincangan semasa pertemuannya dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob pada Selasa lalu.
Ahmad memaklumkan, pertemuan itu adalah kunjungan hormat biasa daripada seorang menteri besar kepada Perdana Menteri yang baharu dilantik memimpin Kerajaan Persekutuan.
“Antara perkara dibincangkan semasa kunjungan hormat itu adalah permohonan daripada kerajaan negeri agar pentadbiran kerajaan baharu meneruskan usaha-usaha yang telah diluluskan. Jawapan Perdana Menteri adalah insya Allah.
“Kita anggap ia sebagai respons terbaik daripada beliau (Anwar) terhadap semua perkara yang dibincangkan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kuih Hari Raya Aidilfitri Kepada Anggota Pasukan Keselamatan Negeri Kelantan Tahun 2023 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Ahmad memaklumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan akan dibubarkan sebelum 28 Jun 2023 yang merupakan tarih penutup penggal ke-14 sebagaimana dipersetujui Menteri Besar dari semua enam negeri yang bakal mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Semua enam negeri bersetuju bubar DUN pada bulan Jun dan terpulang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memilih tarikh pilihan raya. Namun kita minta diadakan serentak di kesemua enam negeri terbabit.
“Berkenaan pengagihan kerusi antara parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) di negeri ini, ia belum dimuktamadkan. Kebiasaannya keputusan mengenai agihan kerusi ini akan dimuktamadkan pada saat akhir,” ujarnya.-UTUSAN