KULAI: Tanda tanya kehilangan seorang lelaki warga emas ketika berbasikal di laluan hutan Taman Gemilang, di sini kelmarin terjawab apabila mayatnya ditemukan di sebuah tasik berhampiran hari ini.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, mayat Liew You Foo, 63, ditemukan pada pukul 11.55 pagi dalam keadaan terapung di permukaan Tasik Biru, Bukit Gemilang.
“Mangsa kemungkinan terjatuh ke dalam tasik berkenaan hasil daripada penemuan sepasang kasut berwarna merah di permukaan tasik pada pukul 11.20 pagi.
“Mayat kemudian dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Isnin lalu, anak mangsa membuat laporan memaklumkan bapanya yang keluar rumah tidak pulang selepas pukul 2 petang sebelum pihak polis dan bomba melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Operasi dilakukan sekitar lima kilometer dari jalan utama, pada pukul 4.18 petang hari yang sama pasukan penyelamat menemukan basikal dan topi mangsa di puncak Bukit Gemilang.
Dalam pada itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Penolong Penguasa Bomba Fairuz Helmi Mohd. Ali berkata, pihak bomba mengeluarkan mayat mangsa dengan menggunakan bot aluminium. – UTUSAN