SEREMBAN: Kedudukan anak bulan pada 20 April nanti tidak memenuhi kriteria Imkanur Rukyah bagi menjangkakan tarikh 1 Syawal jatuh pada 21 April.
Timbalan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, Amran Awaludin berkata, sehubungan itu umat Islam dinasihat untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan menunggu keputusan cerapan anak bulan untuk menentukan tarikh 1 Syawal pada 20 April ini.
“Jangan buat sebarang spekulasi, kita berpandukan kaedah rukyah dan hisab maka kena tunggu keputusan cerapan pada petang hari Khamis 20 April itu nanti.
“Berdasarkan kriteria Imkanur Rukyah yang telah ditetapkan memang kedudukan anak bulan tidak memenuhi kriteria tersebut yang menolak jangkaan 1 Syawal jatuh pada 21 April,” katanya hari ini.
Sebanyak 29 lokasi di seluruh negara akan melaksanakan cerapan anak bulan untuk menentukan tarikh 1 Syawal pada 20 April ini.
Keseemua data dari 29 lokasi itu kemudian akan dikumpulkan serta dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja untuk persetujuan dan keputusan rasmi hanya akan diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
Kebolehnampakan hilal (anak bulan) atau disebut sebagai Imkanur Rukyah adalah penentuan masuknya awal bulan baru, apabila kedudukan hilal ketika matahari terbenam berada dalam keadaan yang kemungkinan kenampakannya dan hilal dianggap dianggap boleh kelihatan apabila kiraan memenuhi kriterianya.
“Kriteria Imkanur Rukyah ini mesti la ketinggian anak bulan dari garis ufuk (kaki langit )melebihi 3 darjah seterusnya jarak lengkung melebihi 6.4 darjah selepas matahari terbenam.
“Ini telah diputuskan dalam Muzakarah Falak Kebangsaan Tahun 2021 dan Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) juga,” jelas Amran lagi.
Beliau dalam pada itu menyarankan umat Islam untuk menumpukan dalam amal ibadat ketika ini terutama apabila bulan Ramadan sudah memasuki 10 malam terakhir.
“Adalah disarankan umat Islam untuk terus menumpukan usaha meningkatkan amal ibadat mereka pada 10 hari terakhir Ramadan ini. Bagi persiapan hari raya buatlah secara sederhana dan jangan amalkan budaya saat akhir bagi persediaan raya,” katanya.-UTUSAN.