BACHOK: Operasi memadam kebakaran hutan tanah gambut di Kampung Beoh, Kampung Kual dan Kampung Beris Lalang di sni selesai apabila lebih empat hektar sisa kawasan yang terbakar berjaya dipadamkan sepenuhnya hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Mohd. Wildan Azahari berkata, kerja-kerja memadam kebakaran bermula sejak 17 April lalu dijalankan mengikut zon itu membabitkan seramai 30 anggota bomba yang telah berkampung di lokasi.
“Antara balai bomba yang terlibat ialah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Zon (3 anggota),BBP Bachok (10 anggota), BBP Tok Bali (4), BBP Pasir Tumboh (4) dan BBP Kota Bharu (6 anggota).
“Kebakaran api gambut berkeluasan hampir empat hektar itu melibatkan kawasan terbiar, kebun getah dan kebun sawit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Wildan memberitahu, kerja-kerja memadam kebakaran itu tamat sepenuhnya pada pukul 5 petang tadi sekali gus membolehkan anggota bertugas kembali ke balai bomba masing-masing.-UTUSAN