Kanak-kanak enam tahun  'marah' usik barangan arwah ayah, ibu dan adik

Kanak-kanak enam tahun  ‘marah’ usik barangan arwah ayah, ibu dan adik

120423-Klt-Anak Kemalangan-Done Online NORA Yaacob (kiri) bersama warga Perkeso Kelantan menyampaikan sumbangan hari raya kepada Muhammad Fariz Mohamad Faiz (depan) di kediaman neneknya, Che Senah Che Awang (dua dari kanan) di Kampung Jambu, Panji, Kota Bharu, Kelantan hari ini. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Usianya baru enam tahun, namun Muhammad Fariz Iskandar Mohamad Faiz akan menzahirkan perasaan ‘marah’ sekiranya barangan milik arwah ayah, ibu dan adiknya yang meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, Perak tiga tahun lalu di usik.

Muhammad Fariz Iskandar akan meminta neneknya Che Senah Che Awang, 65, untuk menyimpan semula supaya barangan tersebut kembali tersusun rapi.

Walaupun tidak terluah melalui kata-kata namun setiap reaksi ditunjukkan Muhammad Fariz Iskandar apabila melihat perkara-perkara berkaitan keluarganya mampu menceritakan isi hati anak kecil itu.

Neneknya, Che Senah Che Awang, 65, berkata, doktor mengesahkan bahawa Muhammad Fariz Iskandar akan mengambil masa lama untuk kembali mengingati tragedi yang meragut nyawa ahli keluarganya.

“Kalau tunjukkan foto keluarganya, Muhammad Fariz Iskandar umpama tidak dapat mengecam wajah mereka. Namun apabila pakaian atau barang kenangan mereka diusik, dia akan memberi reaksi seperti marah dan meminta ia kembali disimpan rapi.

“Ketika dibawa menziarahi pusara pada hari raya, Muhammad Fariz Iskandar akan pegang batu nisan sambil memanggil ‘adik…adik’. Jika tetamu bawa anak kecil, dia akan panggil mereka adik dan mencium mereka,” katanya ketika ditemui pemberita semasa menerima kunjungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan ke rumahnya di Kampung Jambu, Panji, di sini hari ini.

Che Senah memberitahu, semasa kejadian Muhammad Fariz Iskandar baru berusia tiga tahun dan kemalangan yang meragut nyawa ibunya Nik Iedayu Nik Hassan, ayah Lans Koperal Mohamad Faiz Bakhari dan adiknya Muhammad Faqih Irsyad serta ibu saudara Nik Ifieka Nik Hassan.

Katanya, kejadian itu turut menyebabkan Muhammad Fariz Iskandar lumpuh dari pinggang ke bawah dan hilang keupayaan untuk berkomunikasi dengan lancar seperti kanak-kanak lain yang sebaya dengannya.

Sementara itu, Pengarah Perkeso negeri, Nora Yaacob berkata, pihaknya sentiasa mengambil tahu perkembangan diri serta kebajikan Muhammad Fariz Iskandar selaku anak angkat Perkeso termasuk menyalurkan bayaran pencen penakat RM456 dan RM332 setiap bulan.

“Namun saya lebih terharu menyaksikan pengorbanan besar bapa saudaranya, Mohamad Fariz Izuan Bukhari, 21 yang mengambil keputusan untuk tidak meneruskan pengajian selepas habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) demi menjaga anak kecil ini.

“Bermula 19 Mac lalu Muhammad Fariz Iskandar telah bersekolah di Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan Tanjung Mas dan kami lihat dia semakin aktif. Insya-Allah bantuan dari Perkeso juga akan berterusan,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya