Jurujual mengaku tak bersalah memandu melulu sebabkan kematian - Utusan Malaysia

Jurujual mengaku tak bersalah memandu melulu sebabkan kematian

TAN MIN CHUN (dua dari kiri) didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat atas tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki pada 27 Mac lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Seorang jurujual mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki di Jalan Parit Jalil, Parit Sulong pada 27 Mac lalu. 

Tan Min Chun, 32 , membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Zubaidah Mahat.

Berdasarkan pertuduhan, Min Chun didakwa memandu kenderaan Mazda CX5 dengan melulu sehingga menyebabkan kematian Mohd. Kamarul Shahril A. Samad, 43, di Jalan Parit Jalil, Parit Sulong pada pukul 3.30 petang. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda tidak lebih RM50,000, selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khalijah Khalid menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.

Walau bagaimanapun, Min Chun yang diwakili peguam bela, Tan Song Yan memohon jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan tertuduh mempunyai tanggungan seorang isteri dan anak berusia setahun serta menjaga ibunya yang sudah berusia.

Mahkamah kemudian membenarkan Min Chun diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dalam kejadian 27 Mac lalu, seorang lelaki maut selepas terlibat dalam kemalangan yang melibatkan Proton Wira, Perodua Axia dan Mazda CX5 semasa pemandu Mazda dan rakannya mengekori Proton Wira yang dipandu dari arah Tongkang Pechah ke Parit Sulong.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, mangsa yang maut ialah penumpang Proton Wira berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN