JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM470,404 untuk menyediakan kemudahan WiFi secara percuma di 127 masjid dan 33 surau pada tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, inisiatif itu bertujuan untuk memberi akses kepada jemaah termasuk generasi muda dalam mendapatkan perkhidmatan internet bagi tujuan pembelajaran, sekali gus dapat mengimarahkan masjid dan surau, khususnya di kawasan luar bandar.
“Kerajaan negeri berharap pelaksanaan inisiatif itu dapat menarik lebih ramai masyarakat untuk mendekati masjid bukan sahaja bagi mengerjakan solat, malah juga sebagai tempat rujukan dalam menuntut ilmu.
“Harap semua pihak dapat memanfaatkannya sebaik mungkin, jika di rumah tiada WiFi, boleh pergi ke masjid dan surau untuk gunakan perkhidmatan ini secara percuma.
“Walau bagaimanapun, kita juga harap inisiatif ini tidak disalahgunakan untuk perkara memudaratkan. Tok kadi kena monitor. Jangan guna untuk tengok Netflix,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Onn Hafiz berkata, peruntukan itu meliputi kos sewaan selama 12 bulan, pemasangan serta cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Setakat Rabu lalu, ahli kariah di 19 masjid dan surau telah mendapat manfaat tersebut apabila kerja pemasangan berjaya disiapkan.
Kerajaan negeri menyasarkan sebanyak 800 masjid dan surau di negeri ini bakal memperoleh kemudahan tersebut dalam tempoh lima tahun akan datang.
Semalam, Onn Hafiz menghadiri Majlis Berbuka Puasa di Padang Kawad Pasukan Gerakan Am, Simpang Renggam di Kluang dan melancarkan inisiatif WiFi masjid dan surau peringkat negeri. – UTUSAN