Jerebu: Aktiviti luar bilik darjah dibatalkan jika IPU tidak sihat - Utusan Malaysia

Jerebu: Aktiviti luar bilik darjah dibatalkan jika IPU tidak sihat

LIM Hui Ying (tengah) beramah mesra bersama seorang murid selepas beliau mengadakan lawatan ke Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kampung Baru Rahang di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Semua aktiviti luar bilik darjah di sekolah-sekolah akan dibatalkan sekiranya sesuatu kawasan itu mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat iaitu melebihi 100.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, tindakan tersebut merupakan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada oleh pihak Kementerian Pendidikan dan surat pekeliling mengenai perkara itu juga telah diedarkan di setiap Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Tambah beliau, sekiranya keadaan jerebu semakin buruk dengan bacaan IPU mencapai tahap sangat tidak sihat iaitu melebihi 200, tindakan penutupan sekolah akan dilakukan.

“Kami di Kementerian Pendidikan mempunyai SOP bagi menghadapi keadaan berjerebu, kalau IPU mencatatkan jumlah 100 ke atas iaitu tidak sihat, semua aktiviti luar bilik darjah mesti dibatalkan dan tidak dibenarkan.

“Semua mesti berada dalam bilik darjah. sekiranya keadaan menjadi lebih buruk dengan IPU melebihi 200, sekolah akan ditutup.

“Pemantauan akan dilakukan dan jika IPU melebihi 200, JPN akan mengarahkan sekolah ditutup dan melaksanakan tindakan lanjut yang sesuai,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kampung Baru Rahang di sini hari ini.

Baru-baru ini Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, fenome­na jerebu di negara ini dijangka lebih serius pada tahun ini.

Hui Ying dalam pada itu menyarankan supaya semua murid dan pelajar untuk memakai pelitup muka apabila keadaan berjerebu selain mengurangkan aktiviti luar ketika negara turut dijangka mengalami keadaan cuaca panas berpanjangan.

“Saya menyeru semua murid-murid supaya memakai pelitup muka, sekarang ini bukan hanya jerebu malah keadaan cuaca juga panas jadi kurangkan masa masing-masing di bawah matahari dan banyakkan minum air,” katanya.

LIM Hui Ying dalam sidang akhbar selepas beliau mengadakan lawatan ke Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kampung Baru Rahang di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Terdahulu, beliau turut mengadakan lawatan ke dua buah sekolah lagi iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Lobak dan SJKC San Min yang turut bertujuan melihat PPKI yang dijalankan sekolah terlibat membabitkan murid berkeperluan khas.

“Kementerian Pendidikan sentiasa peka dan prihatin tentang keperluan kemudahan infrastruktur bagi murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK).

“Berdasarkan data sehingga 31 Oktober 2022, terdapat sebanyak 4,620 buah sekolah mempunyai sekurang-kurangnya satu kemudahan mesra OKU sama ada susur landai, susur tangan, tandas orang kurang upaya (OKU) dan parkir OKU.

“Pihak kementerian justeru sedang meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pegawainya bagi membolehkan pemantauan berkesan dijalankan untuk memastikan semua sekolah dilengkapi dengan kemudahan dan infrastruktur yang bersesuaian bagi MBPK selaras dengan piawaian yang telah ditetapkan,” katanya sewaktu berucap dalam lawatan tersebut.

Dalam ketiga-ketiga lawatan itu, Hui Ying turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM200,000 untuk ketiga-tiga sekolah terlibat
bagi pelaksanaan program pembangunan dan penyelenggaraan di sekolah dalam perluasan PPKI.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN