GUA MUSANG: Pusat bandar Gua Musang di sini dilihat semakin sibuk hari ini dengan pertambahan kenderaan perantau yang pulang untuk bercuti ke kampung halaman sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Tinjauan Utusan Malaysia di jalan alternatif Gua Musang-Kuala Lipis mendapati, jumlah kenderaan bertambah sejak pagi tadi, namun trafik masih lancar dan terkawal.
Seorang pekerja swasta, Nur Shazlin Imran, 35, berkata, dia bertolak kira-kira pukul 6.30 pagi tadi dari rumahnya di Selangor untuk pulang ke kampung untuk mengelak tersangkut dalam kesesakan lalu lintas.
“Saya berdepan kesesakan sepanjang perjalanan terutamanya di kawasan bandar seperti di Raub, Kuala Lipis dan Merapoh, Pahang.
“Ramai yang mengambil peluang untuk menikmati tol percuma yang diumumkan kerajaan dan saya menjangkakan keadaan semakin sesak dengan kenderaan petang ini,” katanya.
Seorang lagi pengguna jalan, Mohd. Helmi Mohd. Darus, 40, berkata, dia menggunakan lencongan jalan alternatif Gua Musang-Kuala Lipis untuk pulang ke Tanah Merah.
Katanya, dia tetap memilih menggunakan laluan Gua Musang untuk pulang berhari raya di Kampung.
“Saya pertama kali menggunakan laluan alternatif berkenaan dan melihat laluan berkenaan lancar meskipun pertambahan kenderaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, melalui pemantauan pihak trafik IPD Gua Musang, berlaku pertambahan kenderaan dari arah Kuala Lumpur menghala masuk ke Kelantan.
Katanya, bagaimanapun, keadaan masih lancar buat masa ni dan kemungkinan petang ini atau esok akan berlaku lagi pertambahan kenderaan luar masuk ke Gua Musang.-UTUSAN