BATU PAHAT: Seorang lelaki mengalami detik yang menyayat hati apabila isteri tercinta maut di hadapan mata akibat dilanggar sebuah motosikal ketika pasangan itu cuba menyeberangi jalan dengan menaiki motosikal.
Dalam kejadian pukul 9.45 malam itu, lelaki berkenaan turut mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kejadian di Taman Ayer Hitam itu berlaku ketika Rosman Tahir, 55, dan isterinya, Radziah Jayis, 51, menyeberangi jalan dari kiri ke kanan.
Pada masa sama, sebuah motosikal yang ditunggang oleh seorang lelaki berusia 37 tahun datang dari arah Ayer Hitam ke Parit Raja tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal dinaiki pasangan itu.
“Akibat perlanggaran itu, Radziah mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Rosman dan penunggang lelaki yang melanggar motosikal dinaiki pasangan itu mengalami kecederaan parah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semua mangsa dibawa ke HSNI untuk proves bedah siasat serta rawatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN