JERANTUT: Gara-gara imam terlupa takbir pada rakaat kedua, solat sunat Aidilfitri terpaksa diulang kali kedua di sebuah masjid di bandar Jerantut di sini hari ini.
Ia berlaku ketika solat sunat bermula pada pukul 8.45 pagi dengan dihadiri kira-kira 2,000 jemaah termasuk perantau berhari di rumah keluarga di sini.
Pada rakaat pertama, imam berkenaan tidak berdepan masalah dan lancar menyebut takbir tujuh kali, tetapi lain pula berlaku pada rakaat kedua.
Ketika masuk rakaat kedua, imam berkenaan bangun daripada sujud dan terus membaca Fatihah serta ayat lazim dan ‘terlupa’ menyebut lima takbir yang sepatutnya dilakukan sebelum membaca surah Fatihah dan kemudian terus rokuk sehingga selesai solat.
Sejurus memberi salam, imam berkenaan terus bangun dan mengakui kekhilafannya pada rakaat kedua kerana tidak melengkapkan lima takbir sambil memohon para jemaah mengulangi solat sunat itu kali kedua pada pukul 8.55 pagi yang diimamkan oleh beliau sendiri.
Solat sunat Aidilfitri selesai dengan tertib dan nampak wajah imam berkenaan ceria tetapi sedikit kekesalan.
Seorang jemaah, Zulkifli Mahadi, 45, pada mulanya berasa hairan kenapa tiada takbir raya pada rakaat kedua.
Bagaimanapun, katanya, apapun, beliau memuji sikap imam ini yang mengakui kekhilafannya dan mengajak jemaah terus solat sunat kali kedua,” katanya.
Seorang perantau, Azahari Ahmad, 56, berkata, seumur hidupnya dia pertama kali mengalami peristiwa tersebut ketika menunaikan solat sunat Aidilfitri dan beranggapan para jemaah lain pun berdepan pengalaman kali pertama.
“Pada hari mulia ini hal ini perkara yang kecil dan saya lihat keikhlasan imam berkenaan mengakui kekhilafannya melalui pembesar suara dan mahu diulang solat tersebut.
” Pada hari yang mulia ini, kita bermaaf-maafan. Alhamdulillah, solat sunat kali kedua berjalan lancar dan imam mengetuai solat dengan yakin dan tawaduk terutamanya apabila tiba di rakaat kedua,” katanya.
Dalam pada itu setelah selesai khutbah, imam dan pihak pengurusan masjid tersebut memberikan sumbangan duit raya kepada kira-kira 500 kanak-kanak bawah usia 12 tahun.- UTUSAN