Ikan buntal: JKNJ tunggu laporan, serah kepada Timbalan Pendakwa Raya - Utusan Malaysia

Ikan buntal: JKNJ tunggu laporan, serah kepada Timbalan Pendakwa Raya

LING TIAN SOON (berdiri tiga dari kanan) bersama Wee Ka Siong beramah mesra dengan petugas media pada Majlis Berbuka Puasa anjuran MCA Johor di Hotel Trove, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) masih menunggu laporan makmal sebelum dapat melengkapkan siasatan kes kematian pasangan warga emas yang memakan ikan buntal goreng, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, sebaik lengkap, kes tersebut akan diserah kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk menentukan sama ada pendakwaan akan dibuat atau tidak terhadap pembekal ikan berkenaan.

“Pejabat Kesihatan Daerah Kluang dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Batu Pahat telah menjalankan siasatan, bukan itu sahaja malah polis juga telah membuka kertas siasatan berhubung kes berkenaan.

“Tugas JKNJ adalah menyiapkan kertas siasatan, sama ada individu bertanggungjawab akan didakwa atau tidak, itu kita serahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya. Kita sedang menunggu laporan makmal, mungkin dua atau tiga minggu lagi akan diperoleh,” katanya ditemui semasa menghadiri Majlis Berbuka Puasa anjuran MCA Johor di Hotel Trove, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Aman Rabu.

Tian Soon berkata, JKNJ juga sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan dan pakar dari universiti tentang aspek perundangan dalam kes berkenaan.

“Kita perlu berbincang tentang beberapa akta sedia ada, iaitu sama ada memadai untuk kita ambil tindakan mendakwa pembekal ikan berkenaan. Buat waktu ini, ikan-ikan buntal yang dijual pembekal berkenaan telah dirampas untuk diambil sampelnya bagi tujuan siasatan,” katanya.

Beliau menasihati orang awam supaya tidak membeli ikan buntal untuk dimakan.

Pada 25 Mac lalu, Lim Siew Guan, 83, meninggal dunia selepas beberapa jam  menikmati hidangan ikan buntal goreng yang dibeli daripada seorang pembekal, manakala suaminya, Eng Kuai Sin@Ng Chuan Sing, 84, pula maut pada 8 April lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya