RANTAU PANJANG: Ibu kepada lima anak tidak dapat menahan sebak apabila menjadi salah seorang daripada 10 keluarga yang menerima rumah baharu pada sambutan Hari Raya Aidilfitri menerusi program Home2Live.
Norazinah Abdul Aziz, 49, menyifatkan sumbangan tersebut merupakan anugerah yang tidak terhitung nilainya selepas terpaksa menyewa selama 27 tahun bersama suami, Arif Ismail, 60, dan lima anak sebelum diberi kesempatan untuk memiliki rumah sendiri hasil daripada sumbangan Muslim Care Malaysia Society dengan kerjasama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Rantau Panjang.
“Saya pernah muflis dalam perniagaan ketika pandemik Covid-19 dan semuanya hilang sekelip mata selepas perniagaan pakaian yang diusahakan ditutup.
“Ketika itu, saya tidak mampu untuk membayar sewa kedai dan hilang punca pendapatan, namun Allah SWT masih menyayangi saya kerana terpilih sebagai penerima rumah ini,” katanya ketika ditemui pemberita Majlis Serahan Kunci 10 Rumah Home2Live di Pejabat Ahli Parlimen Rantau Panjang di sini hari ini yang disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Norazinah memberitahu, dia membina rumah baharu di atas tanah kakaknya di Kampung Kubang Chenok di sini dan cukup lega kerana tidak perlu memikirkan bayaran sewa rumah selepas ini.
Katanya, rumah tersebut cukup selesa dan dia amat berterima kasih atas sumbangan tersebut sekali gus merealisasikan impiannya untuk memiliki rumah sendiri.
Sementara itu, Presiden Muslim Care Malaysia Society, Zulkifli Wahijan berkata, seramai 10 penerima dalam kalangan asnaf, mangsa kebakaran dan OKU menerima rumah menerusi program Home2Live.
Katanya, kos pembinaan 10 buah rumah itu melibatkan peruntukan sebanyak RM600,000 yang mengambil tempoh masa hampir dua tahun untuk disiapkan.
“Projek ini hasil kerjasama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Rantau Panjang yang banyak membantu menyiapkan pembinaan rumah mereka yang terpilih,” ujarnya.-UTUSAN