Ibu berpantang enggan makan ubat sebelum kejadian

Ibu berpantang enggan makan ubat sebelum kejadian

ANGGOTA forensik polis  sedang menjalankan siasatan di rumah mangsa di Kampung Beris Panchor, Bachok, Kelantan semalam UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Seorang ibu berpantang selepas melahirkan anak keempat yang ditemukan mati di dalam sebuah bilik di rumah ibunya di Kampung Beris Panchor di sini semalam dipercayai enggan makan dua jenis ubat yang dibekalkan pihak hospital sebelum kejadian.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, siasatan mendapati, mangsa yang berusia 37 tahun pergi ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian bersama adiknya kira-kira pukul 9 pagi semalam untuk rawatan kesihatan.

Menurutnya, pihak hospital telah memberi dua jenis ubat iaitu Zolpidem untuk merawat ‘Anxiety’ dan Fluvoxamine untuk merawat kesukaran tidur atau imsomnia.

“Ibunya telah berpesan kepada mangsa untuk makan kedua-dua jenis ubat itu kira-kira pukul 3.30 petang, namun wanita itu menjerit dan enggan makan ubat berkenaan.

“Mangsa kemudiannya mengambil pisau di dapur dan berlegar-legar di sekitar rumah sambil memegang pisau tersebut. Salah seorang adiknya merampas pisau itu dan menyembunyikan senjata tersebut di sebelah rumah mereka yang merupakan tempat untuk membuat kuih,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Mohamad Ismail memberitahu, mangsa kemudiannya masuk ke dalam bilik seorang diri manakala anak lelakinya yang berusia 36 hari dijaga oleh ibu wanita itu di ruang tamu.

Katanya, mangsa kemudiannya ditemui di dalam bilik tidur dengan kesan tikaman pada leher sebelum ibunya mencabut pisau yang tertusuk di bahagian tersebut.

“Siasatan lanjut mendapati, mangsa bertindak  menikam dirinya sendiri dengan sebilah pisau pemotong sayur.

“Mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Beris Panchor di sini sebelum disahkan meninggal dunia. Mayat wanita itu dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk dibedah siasat,” ujarnya.

Mohamad Ismail memberitahu, hasil bedah siasat mendapati, punca kematian mangsa disebabkan pendarahan teruk pada bahagian lehernya.

Katanya, siasatan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya