Ibu bapa disaran pantau anak-anak main mercun, elak kemalangan - Utusan Malaysia

Ibu bapa disaran pantau anak-anak main mercun, elak kemalangan

JOHARI Harun (tengah) ketika melancarkan Kempen Keselamatan Kebakaran Dan Ops Raya sempena Aidilfitri anjuran Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Bagi memastikan tidak ada insiden kemalangan dan kebakaran membabitkan penggunaan mercun dan bunga api di musim perayaan ini, ibu bapa disaran mempertingkatkan pemantauan terhadap anak-anak terutama ketika keluar bermain bahan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Seri Johari Harun berkata, walaupun kerajaan menetapkan kebenaran bersyarat terhadap penjualan bahan letupan tersebut, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa mengawal selia anak-anak.

Menurutnya, ekoran cuaca yang panas luar biasa ketika ini, tidak mustahil ia boleh juga mencetuskan kebakaran tanpa pengawasan khususnya ibu bapa atau penjaga.

“Sekarang memang musim cuaca yang luar biasa panas dan jika tidak dipantau, boleh mendatangkan bahaya seperti kebakaran dan ini kalau boleh kita cuba elakkan daripada berlaku.

“Begitu juga insiden tidak diingini yang lain, macam apa yang berlaku di tempat lain, ada yang cedera, putus tangan dan jari ketika bermain mercun, jadi kalau boleh kita tidak mahu kejadian seperti itu berlaku di sini,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Keselamatan Kebakaran dan Ops Raya Sempena Aidilfitri anjuran Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang di Padang Bandaraya Kuantan (MBK) 1, di sini.

Sementara itu, Pengarah JBPM Pahang, Datuk Dr. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, jumlah laporan membabitkan kebakaran menunjukkan peningkatan sejak awal bulan Ramadan ini.

Jelasnya, kejadian itu berkemungkinan berlaku disebabkan kebakaran struktur atau bangunan, namun ada juga laporan disebabkan hutan akibat cuaca panas.

“Ini semua disebabkan pelbagai faktor, macam kebakaran bangunan, biasanya mempunyai kaitan dengan masalah pendawaian yang sudah lama, melebihi 10 tahun.

“Kita sentiasa mengingatkan pemilik bangunan supaya lebih peka dengan tahap keselamatan pendawaian di bangunan mereka dan melakukan pemeriksaan secara berjadual bagi memastikan ia berada dalam keadaan selamat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya