Harga siling ayam, telur tak diapungkan - Salahuddin - Utusan Malaysia

Harga siling ayam, telur tak diapungkan – Salahuddin

SALAHUDDIN AYUB (dua dari kanan) melawat Pasaraya Hwai Tai di Pandan City, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak bercadang mengapungkan harga siling ayam dan telur sehingga menjelang Hari Raya Aidilfitri ini.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, keputusan itu dibuat berikutan kadar penggunaan bekalan makanan itu dalam kuantiti yang tinggi pada bulan Ramadan dan Syawal ini.

Walaupun kadar penggunaan yang tinggi, namun bekalan ayam dan telur mencukupi serta hasil libat urus dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) turut memberi jaminan bekalan itu dijual pada harga siling yang ditetapkan.

“Ketika kita menghadapi bulan Ramadan dan menanti kedatangan Hari Raya Aidilfitri, kerajaan tidak bercadang untuk mengangkat harga siling bagi barang asas ini, iaitu ayam dan telur.

“Ini telah kita putuskan dalam (mesyuarat) Kabinet supaya semasa Ramadan dan Syawal, harga ini dikekalkan. Ini kerana Hari Raya Aidilfitri ini istimewa, bukan disambut dua hari tetapi sebulan dan ada yang anjurkan rumah terbuka,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Jualan Rahmah Pasaraya Hwa Tai di Pandan City, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo.

Bulan lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dilaporkan berkata, harga ayam dan telur dijangka diapungkan selepas Jun ini dalam usaha kerajaan memastikan masalah kekurangan bekalan makanan itu dapat diatasi.

Pada ketika ini, harga siling runcit semasa bagi ayam standard ialah RM9.40 sekilogram, manakala harga siling runcit telur bagi Gred A pada 45 sen sebiji, Gred B (43 sen) dan Gred C (41 sen), manakala di Langkawi, Sabah, Sarawak dan Labuan, harga maksimum kedua-dua makanan itu berbeza mengikut zon dan daerah.

Dalam pada itu, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, pemantauan yang dilakukan setiap hari sepanjang Ramadan ini mendapati harga barangan asas tidak berlaku kenaikan harga.

“Saya dimaklumkan bahawa bekalan (telur dan ayam) akan meningkat pada Ramadan dan Aidilfitri. Saya juga telah berjumpa dengan pemain industri dan mereka memberikan jaminan dan bersedia untuk membuat lebihan pengeluaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya