KOTA BHARU: Harga bahan basah di negeri ini terutama sayur-sayuran dan ayam masih kekal walaupun selepas tiga hari umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Tinjauan Utusan Malaysia di Pasar Siti Khadijah mendapati, sayur seperti sawi dijual antara RM6 hingga RM8 sekilogram; kubis (RM3.50 hingga RM6 sekilogram); tomato dan lobak merah (RM6 sekilogram) sementara ayam bersih kekal antara RM9.20 hingga RM9.80 sekilogram.
Situasi itu ternyata memberikan kelegaan kepada pengguna selepas mereka sering dihantui dengan kenaikan harga barangan tersebut setiap kali selepas menyambut hari raya.
Seorang pengguna, Muhammad Yunus, 52, berkata, harga bahan mentah yang dilihat stabil ketika ini amat melegakan golongan berpendapatan rendah sepertinya untuk menyambut Aidilfitri.
“Setiap kali musim perayaan harga barang basah tidak menentu dan mengalami kenaikan mendadak sehingga memberikan tekanan kepada golongan berpendapatan rendah.
“Namun Aidilfitri kali ini berbeza apabila harga barangan basah banyak yang kekal dan tidak berubah sebelum dan selepas hari raya,” katanya di sini semalam.
Seorang peniaga sayur, Nurul Amani Ishak, 29, berkata, harga sayur-sayuran yang dijual ketika ini masih kekal sebagaimana menjelang sambutan hari raya.
“Selain harga kekal, saya tidak berdepan masalah dari segi bekalan apabila ia (sayur-sayuran) mudah diperoleh daripada pihak pemborong,” jelasnya.
Sementara itu, seorang peniaga ayam, Arifin Hashim, 38, berkata, harga ayam masih kekal dijual iaitu RM9.20 sekilogram.
Katanya, harga tersebut masih kekal sebagaimana menjelang Aidilfitri.
“Tidak dinafikan ada juga peniaga yang menjualnya RM9.40 hingga RM9.80 sekilogram,” katanya.-UTUSAN