PUTRAJAYA: Kerajaan melaksanakan pelbagai usaha bagi mengawal harga barangan termasuk melaksanakan penjualan terus tanpa pembabitan orang tengah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, situasi itu boleh dilihat jika barangan seperti sayur-sayuran, buah-buahan atau bahan mentah dibawa terus dari ladang ke pasar.
Menurut beliau, penghapusan peranan orang tengah boleh dilaksanakan dengan cara mengadakan pasar-pasar tani atau projek-projek seperti jualan agro bazar yang diselenggarakan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk mengawal harga barang.
“Apa yang penting kita lihat di sini (jualan agro bazar), kita tengok sayur jauh lebih murah kerana tidak melalui orang tengah dengan keuntungan berlebihan. Harga di sini betul-betul jauh lebih rendah daripada pasar biasa.
“Begitu juga barang-barang lain seperti buah-buahan, ikan, udang dan sebagainya. Ini menunjukkan kalau kita bawa hasil itu dari ladang terus ke pasar, harga itu jauh lebih rendah.
“Ada juga barangan yang diimport, itu tak dapat kita kawal, tapi hasil dalam negeri boleh dikawal,” kata beliau ketika tinjauan Jualan Agro Rahmah di Tapak Bazar Ramadan, di sini hari ini.
Anwar berkata, teori peranan orang tengah yang menyebabkan harga itu meningkat adalah apa yang pernah disebut oleh Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz pada tahun 1990-an mengenai ‘penyelewengan dalam infrastruktur pemasaran’.
“Kalau kita dapat kurangkan peranan orang tengah atau orang tengah mengambil keuntungan berpatutan, maka harga boleh dikawal,” katanya.
Perdana Menteri pada masa sama mengumumkan sewa tapak bazar Ramadan di Presint 3 Putrajaya diturunkan kepada RM850 berbanding RM1,000 sebelum ini.
Katanya, keputusan ini memberi peluang kepada peniaga mendapat lebih keuntungan dan jika sambutan baik dengan cara yang lebih teratur, diskaun sewa itu boleh dipanjangkan selepas bulan Ramadan. – UTUSAN