KOTA TINGGI: Enam lelaki warganegara Indonesia ditahan kerana disyaki merompak sebuah bot kayu yang sarat dengan muatan besi buruk di kedudukan 3.7 tenggara Tanjung Setapa semalam.
Pemangku Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd. Najib Sam berkata, tangkapan dilakukan kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
“Aduan telah diterima oleh Zon Maritim Tanjung Sedili daripada nakhoda bot tunda TARGET 10 yang membawa muatan besi buruk dalam perjalanan ke Pulau Pinang yang memaklumkan tongkang mereka telah dihimpit beberapa buah bot dan dinaiki oleh beberapa suspek dipercayai untuk mencuri.
“Bertindak atas aduan, aset Maritim Malaysia segera ke lokasi dan berjaya memintas sebuah bot kayu sarat dengan muatan besi buruk yang dicuri bersama dengan enam suspek lelaki warga Indonesia
berumur antara 23 hingga 51 tahun.
“Kesemua mereka ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 dan 445 Kanun Keseksaan kerana mencuri serta pecah masuk. Jika didapati bersalah, boleh dipenjara tidak lebih 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Najib berkata, pihaknya juga berjaya mematahkan cubaan masuk lima pendatang asing tanpa izin (PATI) pada Ahad lalu.
“Aset Maritim Malaysia yang sedang beroperasi segera diatur gerak ke lokasi dan berjaya menahan bot kayu tersebut di kedudukan 5.4 batu nautika tenggara Tanjung Setapa pada pukul 10.40 malam.
“Pemeriksaan lanjut mendapati bot kayu tanpa nombor pendaftaran itu membawa lima lelaki warga Indonesia berumur antara 29 hingga 47 tahun tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dan disyaki PATI.
“Bot dan PATI seterusnya ditahan dan kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959 (pindaan 1963) dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, iaitu cuba keluar atau masuk Malaysia melalui pintu yang tidak diwartakan serta menjalankan penyeludupan migran,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang aktiviti jenayah maritim boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Sedili menerusi talian 07-8916591. – UTUSAN