Enam protege UMP tamat Program Felo Perdana dirai - Utusan Malaysia

Enam protege UMP tamat Program Felo Perdana dirai

ABDUL AZIZ Abdul Rahman (tengah) dan Yuserrie Zainuddin (lapan dari kiri) bersama enam protege UMP berjaya menamatkan program perintis Felo Perdana UMP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seramai enam protege Universiti Malaysia Pahang (UMP) berjaya menamatkan program Felo Perdana Protege UMP setelah enam bulan berkhidmat kepada pengurusan universiti tersebut termasuk Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman dan Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin.

Abdul Aziz berkata, protege terbabit berjaya didedahkan dengan aspek kepimpinan dalam universiti bukan sahaja membabitkan operasi seharian malah bagi membentuk pemikiran sebagai pemimpin untuk membuat keputusan di peringkat tertinggi.

“Kemahiran insaniah mereka selama enam bulan ini bukan sahaja di UMP malah didedahkan dalam organisasi korporat termasuk di UMW Holdings dan Perodua bagi melahirkan protege sebenar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata, menerusi kejayaan itu, Program Felo Perdana UMP 2.0 bakal menyusul dengan menawarkan peluang buat alumni menyertai program ini bagi melahirkan lebih ramai protege pada masa depan.

“Program Felo Perdana UMP 2.0 bakal mengemas kini dan menambah baik modul seiring dengan perkembangan organisasi yang memerlukan pemimpin berfikiran strategik yang boleh membantu pemimpin organisasi membuat keputusan secara tuntas dan berkesan,” katanya.

Protege ini terdiri daripada Nur Ainaa Adhreena Muhamad Shukri yang ditempatkan di Pejabat Naib Canselor (PNC), Muhammad Syamim Mazlan ditempatkan di Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) dan Muhammad Aizat Azed di Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).

Muhammad Aminuddin Rosnizan ditempatkan di Jabatan Pendaftar, Nurul Shuhada Haji Mohamed ditempatkan di Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS) dan Muhammad Nur Aqmal Nazri di Jabatan Bendahari.

Program Protege UMP ditawarkan kepada graduan UMP bagi memberi peluang kepada alumninya menimba pengalaman bertugas dan bekerja sebagai Pegawai Ikhtisas kepada Pengurusan UMP selama enam bulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya