KOTA BHARU: Cubaan sebuah bot nelayan asing Vietnam yang dikemudikan oleh seorang tekong bersama krew melarikan diri selepas menceroboh perairan negara gagal apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada jarak 161 batu nautika dari Muara Tok Bali, di sini pada Sabtu.
Pengarahnya Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab. Rahman berkata, semasa melakukan rondaan menerusi Op Naga Barat dan Op Kuda Laut pada pukul 10.20 pagi anggota bertugas telah mengesan sebuah bot yang dikemudi dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, semasa menghampiri bot tersebut telah bertindak melarikan diri menuju ke arah sempadan Vietnam bagi mengelakkan ditahan anggota Maritim Malaysia Kelantan.
“Hasil kecekapan anggota, kita berjaya menahan bot berkenaan 17 minit kemudian bagi tujuan pemeriksaan. Hasilnya kita berjaya menahan seorang tekong dan tiga kru masing-masing berusia antara 33 hingga 58 tahun. Kesemua warga Vietnam itu tidak mempunyai sebarang kebenaran untuk menangkap ikan di perairan Malaysia.
“Bot tersebut kemudian telah dibawa balik ke Jeti Maritim Kelantan untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut,” katanya semasa sidang media di Jeti Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali, di sini hari ini.
Syed Nor Adli memberitahu, pemeriksaan lanjut ke atas bot tersebut membawa kepada penemuan 2,000 liter minyak diesel.
Katanya, Maritim Malaysia Kelantan turut merampas peralatan menangkap ikan, komunikasi dan navigasi.
“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 16 (3) akta yang sama kerana gagal memberitahu pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili tentang nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel, dalam hal memasuki perairan perikanan Malaysia.
“Sabitan di atas kedua-dua kesalahan itu boleh dihukum denda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM 600 ribu ke atas setiap kru mengikut Seksyen 25 (a) Akta Perikanan 1985,” ujarnya.
Syed Nor Adli berkata, kesemua nelayan asing itu turut disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.-UTUSAN