KOTA BHARU: Dua penganggur yang dipercayai bertindak sebagai pengedar dadah ditahan bersama 18,000 biji pil yaba bernilai RM180,000 dalam serbuan di jalan Rantau Panjang, Pasir Mas dekat sini kelmarin.
Serbuan pukul 4.15 pagi itu hasil maklumat risikan yang diterima oleh polis berkait dengan aktiviti tersebut.
Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, selepas menahan kedua-dua suspek pihaknya telah melakukan pemeriksaan ke atas sebuah motosikal jenis Honda Vario yang berada dilokasi.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas motosikal itu membawa kepada penemuan bungkusan mengandungi dadah jenis pil yaba.
“Kita mendapati salah seorang suspek yang ditahan itu merupakan warganegara Thailand dan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah masuk ke negara ini.
“Hasil saringan air kencing yang dilakukan ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka penagih dan positif jenis methamphetamine,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, polis tidak menolak kemungkinan dadah tersebut dibawa masuk menggunakan laluan tidak sah di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.
Katanya, kedua-dua suspek masing-masing berusia 26 dan 27 tahun tersebut direman selama tujuh hari bermula semalam untuk membantu siasatan berhubung dengan rampasan dadah itu.
“Kita percaya bekalan ini untuk pasaran tempatan dan luar dari Kelantan. Jika dadah ini terlepas ia boleh digunakan oleh seramai 18,000 orang penagih.
“Hasil semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenalpasti dari mana mereka memperoleh bekalan,” ujarnya.-UTUSAN