SEREMBAN: Sebanyak 863 notis kesalahan telah dikeluarkan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan hasil pengesanan menerusi penggunaan dron dan kamera aksi pengawasan (EAC) sepanjang penguatkuasaan Op Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2023.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, daripada sepanjang penguatkuasaan bermula 18 April sehingga semalam itu, sebanyak 623 notis dikeluarkan hasil penggunaan dron manakala 240 menerusi penggunaan EAC.
Kata beliau, berdasarkan jumlah notis kesalahan tersebut, 529 merupakan gagal mematuhi lampu isyarat merah dan 132 lagi melibatkan kesalahan memotong barisan.
“Setakat ini pihak JPJ Negeri Sembilan mempunyai tiga buah dron dan enam buah EAC yang digunakan anggota Unit Penguatkuasaan Bermotosikal (UPB).
“Penguatkuasaan dengan kaedah ini lebih efektif kerana pengguna jalan raya yang sering melakukan kesalahan lalu lintas mudah dikesan untuk diambil tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar Penutup Op HRA 2023 di sini hari ini.

Dalam pada itu, tambah beliau, sepanjang 10 hari penguatkuasaan, sebanyak 12,243 kenderaan telah diperiksa dan sejumlah 1,902 buah daripadanya telah pun diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.
Katanya, sebanyak 3,796 notis kesalahan telah direkodkan hasil pemeriksaan tersebut dengan sebanyak 2,432 saman turut telah dikeluarkan.
“Daripada jumlah kesalahan tersebut, kesalahan melibatkan pelesenan pemandu merupakan paling banyak dicatatkan iaitu sebanyak 1,119 kesalahan diikuti pelesenan kenderaan melibatkan 1,146 kesalahan.
“Sebanyak 773 notis kesalahan juga dicatatkan melibatkan tujuh kesalahan utama iaitu antaranya gagal mematuhi lampu isyarat merah, tidak memakai tali pinggang keledar dan tidak memakai topi keledar,” katanya.
Sementara itu, Hanif Yusabra berkata, menerusi operasi tersebut juga, pihaknya juga telah menempatkan pegawai-pegawainya menyamar sebagai penumpang bas.
“Sebanyak 32 buah bas telah dinaiki oleh anggota JPJ yang membuat penyamaran dan didapati masih terdapat pemandu yang melanggar peraturan ditetapkan. Sejumlah 92 saman telah dikenakan kepada pemandu-pemandu yang melakukan kesalahan antaranya menggunakan telefon bimbit dan memandu di lorong kanan berterusan,” katanya.-UTUSAN.