SEREMBAN: Dakwaan bahawa penganjuran Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di enam buah negeri sebagai pembaziran merupakan satu pandangan yang jumud dan tindakan cuba menyalah tafsir.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, penganjuran tersebut sebaliknya adalah usaha kerajaan untuk mendampingi dan menyantuni rakyat sempena sambutan hari raya ketika ini.
“Jangan salah tafsirkan, saya rasa mereka terlampau jumud untuk mengatakan bahawa sambutan hari raya sebagai satu pembaziran. Konsep Rumah Terbuka Malaysia Madani ini bagi meraikan kepelbagaian dan meraikan suasana Hari Raya Aidilfitri dengan pelbagai program yang dianjurkan.
“Cuma berskala besar dan kecil itu bergantung, kalau di negeri ini ia merupakan anjuran kerajaan Negeri Sembilan dan bukan program dari kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup Kursus Perdana Haji Negeri Sembilan 1444H/2023M di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai di sini hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak dakwaan yang mengatakan bahawa penganjuran majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani sempena Aidilfitri di enam negeri sebagai pembaziran.
Perdana Menteri berkata, program itu dianjurkan kerajaan sebagai usaha mendampingi dan menyantuni rakyat dan bukannya dilaksanakan atas kapasiti peribadi. Jelas beliau, mana-mana kerajaan akan menganjurkan majlis rumah terbuka.
Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sembilan dan Malaysia Madani akan diadakan pada 7 Mei ini di Wisma Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di Persiaran Forest Heights di sini.
Sementara itu, Aminuddin berkata, seramai 903 orang bakal jemaah haji di negeri ini telah menghadiri Kursus Perdana Haji yang diadakan selama dua hari sejak semalam.
“Kursus Perdana Haji ini merupakan platform penting untuk pihak Tabung Haji berkongsi informasi terkini berkaitan haji dan perjalanan jemaah haji di Tanah Suci. Saya berharap para jemaah mendapat ilmu yang bermanfaat menerusi perkongsian dan pengalaman daripada mutawif yang membimbing mereka,” katanya.-UTUSAN.