ISKANDAR PUTERI: Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) yang di sini bakal berwajah baharu apabila dinaik taraf, seterusnya diyakini mampu mengatasi masalah kesesakan di pintu masuk negara.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pihaknya akan menyegerakan kelulusan permohonan peruntukan RM45.5 juta dalam melaksanakan empat projek di kompleks tersebut.
“Hari ini, saya ingin membuat susulan dan melihat sendiri apakah yang boleh dibantu Kementerian Kewangan bagi memastikan pelaksanaan keputusan-keputusan yang berkaitan.
“Apa yang saya boleh bantu tentunya menimbangkan permohonan-permohonan peruntukan yang tertentu. Terdapat empat projek yang dikenal pasti yang kita anggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM45.5 juta.
“Kalau boleh, kita harap tahun ini dapat luluskan kerana kesesakan sudah menjadi isu besar. Jadi, segala perkara yang boleh disiapkan segera akan dilaksanakan terutamanya dari segi meluluskan peruntukan ini,” katanya selepas meninjau operasi KSAB di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Kastam negeri, Misbahudin Parmin.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, antara projek yang akan dilakukan ialah penambahan akses laluan masuk ke zon menunggu bagi kenderaan berat import dan eksport serta menggabung dan membina bumbung dewan bagi penumpang yang menaiki bas ‘inbound’ dan ‘outbound’.
Peruntukan yang sama juga akan digunakan bagi menambah baik kemudahan sedia ada seperti kafe, surau dan tandas selain membuka laluan kontra daripada Malaysia ke Singapura.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, bagi laluan kontra, sebanyak 12 lorong akan ditambah bagi mewujudkan laluan kontra.
“Laluan kontra yang ada ini adalah dari Singapura ke Malaysia dan dibuka apabila berlaku kesesakan, terutamanya pada hujung minggu, ketika cuti atau perayaan. Sebanyak 24 lorong ditambah 12 lorong dilihat dapat atasi kesesakan dari Singapura ke Malaysia.
“Namun, laluan kontra ini belum boleh dilaksanakan bagi laluan dari Malaysia ke Singapura disebabkan ada landskap yang perlu dialihkan dan ini yang perlu kita laksanakan. Apabila permohonan peruntukan ini diluluskan, semua projek tersebut dapat digerakkan tahun ini dan harapnya siap pada tahun depan kerana kita tidak mahu timbul halangan terhadap usaha untuk tangani kesesakan di sini,” katanya. – UTUSAN