JOHOR BAHRU: Cadangan meletakkan rizab Orang Asli di negeri ini di bawah kategori Tanah Kesultanan menerima bantahan sekumpulan masyarakat berkenaan.
Jaringan Perkampungan Orang Asli Johor (JPOAJ) dalam satu kenyataan memaklumkan, bantahan itu dibuat secara sebulat suara dalam satu perjumpaan pemimpin Orang Asli di seluruh negeri Johor.
Menurut mereka, keputusan tersebut bukan soal menderhaka kepada titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, sebaliknya atas dasar demokrasi dalam menyuarakan hak sebagai warganegara Malaysia.
“Satu keputusan sebulat suara telah dicapai dengan seluruh perwakilan memutuskan untuk membantah cadangan bagi menukar status tanah Orang Asli daripada sistem rizab biasa, iaitu di bawah Akta 134 dan Kanun Tanah Negara kepada Tanah Kesultanan Johor.
“Maka, satu surat bantahan rasmi akan dihantar kepada kerajaan negeri dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Johor dalam masa terdekat sebagai suara rasmi Orang Asli Johor,” demikian menurut kenyataan itu.
Keputusan tersebut dicapai dalam satu pertemuan yang melibatkan seramai 90 perwakilan komuniti Orang Asli dari pelbagai kampung dan daerah termasuk tok batin, pengerusi-pengerusi JPOAJ, pemimpin tempatan dan generasi muda di Dewan Orang Ramai Kampung Orang Asli Pengkalan Tereh, Kluang, Jumaat lalu.
Sementara itu, Pengerusi JPOAJ, Dolah Tekoi dalam satu kenyataan berasingan menafikan dakwaan yang mengatakan Orang Asli dieksploitasi untuk membuka ladang di kawasan hutan simpan.
“Perkara tersebut adalah tidak benar kerana Orang Asli adalah kaum yang hidup dengan tanah atau bertani dari dahulu kala, maka keinginan untuk berkebun bukan kerana hasutan orang luar tetapi atas kesedaran sendiri.
“Hutan-hutan ini pula adalah Wilayah Adat bagi kami kerana ia memang diguna sejak turun temurun sebagai tempat mendapatkan sumber penting seperti perubatan tradisi, upacara keagamaan, makanan, memburu, mencari hasil hutan dan sebagainya,” katanya.
Walau bagaimanapun, dia menyokong usaha pihak berwajib untuk menyiasat andai benar ada Orang Asli yang dieksploitasi untuk menebang hutan terlalu luas dan tindakan wajar perlu diambil.
“Ini kerana dalam konsep Tanah Adat, kegunaannya adalah sama rata untuk setiap penduduk. Cadangan saya, kerajaan harus mengiktiraf penggunaan Wilayah Adat yang dikatakan hutan simpan di sekitar penempatan Orang Asli sebagai Tanah Milik Bersama masyarakat kami berdasarkan Peta Komuniti yang dibuat penduduk setempat,” katanya. – UTUSAN