Bekalan sayur stabil, harga rendah menjelang Aidilfitri - Utusan Malaysia

Bekalan sayur stabil, harga rendah menjelang Aidilfitri

ABDUL Rashid Bahri (kiri) melihat hasil sayur bendi yang diusahakan Usahawan FAMA Daerah Rembau, Kamarudin Norzan (kanan) pada Program Jelajah Semarak Ramadan Peringkat Negeri Sembilan di Ladang Kampung Relong, Rembau, hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Bekalan sayur-sayuran dalam negara berada dalam keadaan stabil dengan harga lebih rendah menjelang perayaan Aidilfitri.

Pemangku Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Abdul Rashid Bahri juga berkata, bekalan kelapa juga tidak mengalami kekurangan meskipun berlaku peningkatan permintaan.

“Harga sayur-sayuran juga ditawarkan juga lebih rendah berbanding sebelumnya dengan mengambil contoh harga timun yang kini sekitar RM1.50 sekilogram berbanding sebelumnya dijual pada harga RM2.

“FAMA akan terus meningkatkan bekalan dari outlet-outlet kami seperti pasar tani, agro bazar dan pusat-pusat operasi bagi memastikan bekalan sentiasa stabil.

“Kami juga tidak lagi mendapat aduan berkenaan kekurangan bekalan kelapa sejak tahun lalu selepas kelapa tidak lagi dikenakan permit import atau kelulusan kuota import. Bagi musim perayaan ini, sebanyak 2 juta biji kelapa akan diimport dari Indonesia bagi memenuhi keperluan pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Program Jelajah Semarak Ramadan Peringkat Negeri Sembilan di Ladang Kampung Relong, di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, turut diadakan majlis menandatangani perjanjian jual beli antara Rakan Pemasar Kontrak Pemasaran (RPKP) dengan peserta ladang-ladang kontrak.

Sementara itu, Abdul Rashid berkata, FAMA menyasarkan seramai 1,000 orang peserta akan menyertai Program Ladang Kontrak di seluruh negara tahun ini bagi meningkatkan lagi bekalan makanan negara.

Menurutnya, program ladang kontrak dilihat mampu mengurangkan tekanan bekalan makanan bagi hasil sayur-sayuran dan buah-buahan terutamanya pada musim perayaan.

“Sehingga kini terdapat lebih 5,000 peserta menyertai program tersebut di seluruh negara. Di Negeri Sembilan sahaja sudah ada 233 orang usahawan ladang kontrak dan sepanjang tahun lalu, lebih 350 metrik tan hasil direkodkan dengan nilai lebih RM1 juta,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya