Bank Islam, Yayasan Didik Negara jalin kerjasama - Utusan Malaysia

Bank Islam, Yayasan Didik Negara jalin kerjasama

FADHLINA Sidek (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen di antara Mohd. Muazzam (kiri) dan Hardian (kanan) pada Majlis Pertukaran MoU di antara Bank Islam dan Yayasan Didik Negara di Seremban, semalam-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) dan Yayasan Didik Negara (YDN) kini menjalinkan kerjasama dalam menyokong peranan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam menyediakan keperluan pendidikan tanah air.

Ia melalui pertukaran memorandum persefahaman (MoU) di antara kedua-dua pihak dengan Bank Islam menerusinya akan memberikan sumbangan kepada pihak YDN yang kemudiannya disalurkan pula kepada kumpulan sasar seperti murid, pendidik, sekolah dan institusi pendidikan di bawah kementerian dalam meningkatkan akses dan kualiti pendidikan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, pihaknya akan memberikan sokongan kepada YDN dalam melaksanakan aktiviti khususnya kebajikan kepada pelajar-pelajar menerusi sumbangan dana.

“YDN memang mempunyai program-program yang khusus dan kami memainkan peranan dengan menyalurkan dana kepada pelajar terpilih terutama dalam golongan B40. Pemberian dana berdasarkan apa keperluan pihak YDN dan MoU yang dimeterai ini adalah untuk tempoh dua tahun dan kemudian akan semak lanjutan untuk tempoh seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita Majlis Pertukaran MoU di antara kedua-dua pihak yang diwakili oleh Mohd. Muazzam dan Ketua Pegawai Eksekutif YDN, Hardian Hadir.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek turut hadir menyaksikan majlis tersebut yang diadakan di sini semalam.

Mohd. Muazzam dalam pada itu berkata, salah satu inisiatif awal yang akan turut pihaknya lakukan bersama YDN adalah menerusi pelaksanaan Projek Rintis Komuniti Tanpa Tunai di 10 buah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) di seluruh negara pada tahun ini.

“Ia merupakan usaha kami dalam menggalakkan penggunaan pembayaran tanpa tunai atau penggunaan Kod QR dalam transaksi pembelian. Ia dijangka memberi manfaat kepada lebih 113,000 warga IPGM terlibat.

“Program tanpa tunai ini dijangka akan diteruskan di semua 17 IPGM lain agar akses pembayaran tanpa tunai dapat dinikmati kesemua warga IPGM,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, kerjasama di antara pihak kementerian dan Bank Islam sudah berlangsung lama sebelum ini termasuk dalam Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan dan ia diperkukuhkan lagi dengan sumbangan dana daripada syarikat perbankan itu dalam aktiviti berkait kebajikan pelajar.

“Inilah yang kami harapkan berlaku kepada syarikat-syarikat dan badan korporat yang mahu melihat kejayaan pendidikan negara. Masih ramai lagi pelajar-pelajar di luar bandar yang terkesan dan mereka perlukan bantuan.

“Kami di peringkat kementerian sentiasa memikirkan kaedah terbaik daripada segi dasar bagi memberi ruang dan peluang kepada anak-anak di luar bandar ini belajar tetapi ada bahagian tertentu yang kami memerlukan sentuhan daripada pihak korporat. 

“Melalui bantuan daripada YDN dan yayasan-yayasan lain, ia memberikan impak yang besar dan manfaat kepada pelajar dan ibu bapa pelajar itu sendiri,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN