KEPALA BATAS: ‘Bayaran seikhlas hati’ menjadi teknik kreatif untuk badut profesional bersedekah sambil menghiburkan kanak-kanak sempena bulan Ramadan ini.
MD SMILE atau nama sebenarnya, Mohd. Shahrizal Isa, 40, menyediakan belon pelbagai bentuk untuk diberikan kepada kanak-kanak yang mengunjungi bazar Ramadan Bertam Putra di sini.
Menurut beliau, ia adalah salah satu cara untuk menceriakan kanak-kanak ketika umat Islam menjalani ibadah puasa.
“Sebenarnya sudah 10 tahun saya memilih badut profesional sebagai kerjaya dan sejak dua tahun lalu, saya berada di bazar ini setiap kali Ramadan untuk menghiburkan kanak-kanak.
“Selalunya apabila kita menetapkan harga belon, ibu bapa biasanya akan ‘berat hati’ sebab takut mahal dan sebagainya.
“Kalau bayar ikut suka hati, ramai yang tidak kisah dan akan beri ikut kemampuan, malah saya terima dengan hati terbuka kerana memang niat saya mahu kanak-kanak rasa seronok,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Shahrizal berkata, kebiasaannya 500 gram belon habis digunakan dalam masa dua hari.
“Banyaklah bentuk yang biasanya saya buat antaranya bunga, pedang dan mesingan.
“Paling banyak pernah saya terima bagi setiap belon adalah RM20 dan paling sikit syiling yang mungkin tidak sampai RM1 tetapi saya tetap bersyukur kerana misi untuk menggembirakan kanak-kanak tercapai.
“Selain itu, saya turut menyediakan perkhidmatan badut profesional ini khas untuk pelbagai majlis antaranya jamuan hari lahir, konvokesyen, kenduri kahwin dan hari keluarga,” katanya.- UTUSAN