Anak bekas menteri dituduh beri maklumat palsu, syarikat miliki minyak masak melebihi had - Utusan Malaysia

Anak bekas menteri dituduh beri maklumat palsu, syarikat miliki minyak masak melebihi had

MUHAMMAD Faisal Hamzah (kanan) tiba di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini bagi didakwa atas sembilan pertuduhan berkaitan penyelewengan minyak masak bersubsidi pada tahun lalu.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Anak kepada seorang bekas menteri dan rakannya hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas sembilan pertuduhan berkaitan penyelewengan minyak masak bersubsidi pada tahun lalu.

Muhammad Faisal Hamzah, 39, dan Azizul Abdul Halim, 55, yang pada ketika itu merupakan pengarah syarikat Rimba Merpati Sdn. Bhd. membuat pengakuan berkenaan sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim, Mazni Nawi.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didapati memberikan maklumat palsu semasa mengemukakan maklumat berhubung dokumen/invoice penjualan minyak masak kepada dua kedai runcit di sini.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri kira-kira pukul 5 petang pada 12 Ogos tahun 2022.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 22(4) Akta Kawalan Bekalan 1961 hendaklah disifatkan telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 8(4)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit Kesalahan boleh didenda maksimum RM 1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, didenda maksimum RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, Syarikat Rimba Merpati Sdn. Bhd. yang merupakan pemegang lesen borong barang kawalan berjadual iaitu minyak masak di mana kedua-duanya merupakan pengarah syarikat berkenaan juga didakwa memiliki barang kawalan berjadual tersebut melebihi had 50 metrik tan.

Mengikut Peraturan 9(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 ia merupakan kesalahan di bawah Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (2) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Kesalahan dilakukan di premis syarikat berkenaan yang terletak di Kawasan Industri Sinar Andalas, Senawang pada kira-kira pukul 11.15 malam pada 11 Ogos tahun lalu.

Syarikat berkenaan juga didapati memberikan maklumat palsu semasa mengemukakan maklumat berhubung dokumen/invoice penjualan minyak masak kepada dua kedai dan kesalahan turut dilakukan pada 12 Ogos tahun lalu di Pejabat KPDN di Seremban 2 di sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari KPDN iaitu Mohd. Sophian Zakaria dan Syazwani Zawawi manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Qurratu ‘Aini Zafirah Mat Shoib.

Mazni kemudiannya membenarkan jaminan keseluruhan sebanyak RM40,000 kepada kedua-dua tertuduh dan menetapkan 7 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula bagi serahan dokumen.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya