SEREMBAN: Terdapatnya kerja-kerja tanah, aktiviti perindustrian dan kuari di sekitar kawasan Nilai di sini antara menyumbang kepada daerah Seremban mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat hari ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara tersebut ditambah pula dengan ditambah pula dengan keadaan kering tiada hujan di daerah ini sejak beberapa hari kebelakangan ini.
“Saya juga telah berikan amaran dua minggu lalu kepada pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pejabat Daerah dan Tanah Seremban untuk memberi perhatian perkara ini agar ia tidak menyumbang ke arah jerebu dan IPU yang tinggi.
“Memang ada tempat yang berhabuk dan kering dan saya minta diberikan perhatian agar tidak nanti boleh menganggu kesihatan dan keselesaan penduduk sekitar.
“Di situ ada beberapa kawasan kuari aktif dan berhampiran dengan kawasan perindustrian dan kawasan tanah yang sedang diusahakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Seremban menjadi satu-satunya kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat sejak pukul 6 pagi tadi dan setakat pukul 3 petang tadi ia mencapai bacaan 134.
Aminuddin dalam itu memaklumkan, tiada laporan kebakaran di mana-mana kawasan yang diterimanya yang mungkin menjadi penyebab situasi tersebut.
“Bagaimanapun saya menyeru kepada penduduk supaya tidak buat pembakaran terbuka sama ada di rumah ataupun kebun kerana ia boleh menyumbang kepada debu yang akan memberikan kesan lebih buruk,” katanya.
Sementara itu, Pengarah JAS Negeri Sembilan, Hamzah Mohamad berkata, bacaan IPU tersebut bergantung kepada keadaan cuaca akibat kekurangan hujan di beberapa buah kawasan serta keadaan cuaca yang panas dan kering.
“Bagaimanapun, JAS dan agensi berkaitan sentiasa memantau aktiviti pembakaran terbuka dan menyeru orang ramai untuk tidak melakukan pembakaran terbuka. Kami juga akan sentiasa memantau dari semasa ke semasa status kualiti udara,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Menteri Besar berkata, sebanyak 10,000 kilogram daging lembu segar akan dijual di 18 lokasi penganjuran program Mantai Perdana di seluruh negeri ini yang akan diadakan pada 20 April depan.
“Seramai 21 pengusaha akan terlibat kali ini dan daging segar ini akan dijual pada harga yang dikawal iaitu RM37 sekilogram, ada kawasan-kawasan tertentu juga dijangka akan menawarkan pada harga lebih murah,” katanya lagi.-UTUSAN.