KOTA BHARU: Ahli Parlimen daripada blok pembangkang setakat ini masih belum menerima sebarang peruntukan daripada Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membolehkan mereka membantu rakyat di kawasan masing-masing.
Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pada hari terakhir sidang Parlimen Perdana Menteri mengumumkan peruntukan itu sudah disediakan dan meminta pembangkang supaya mengadakan perundingan bersama pihak kerajaan.
“Beliau (Anwar) memaklumkan perkara itu boleh dirundingkan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof. Sehubungan itu kita telah menamakan tiga individu dari blok pembangkang untuk merundingkannya dalam masa terdekat.
“Tiga individu itu adalah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ketua Whip Pembangkang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Sumbangan Raja Perfume Malaysia yang turut disaksikan pemiliknya oleh Wan Mohd. Raimiey Syazerin di Kampung Lepar Limbat, di sini semalam.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu memberitahu, Pas berharap isu tersebut dapat diselesaikan dalam satu rundingan sahaja supaya usaha membantu rakyat memerlukan dapat dilaksanakan dengan lebih cepat.
Katanya, setakat ini syarat, butiran perundingan serta amaun peruntukan belum diketahui dan masih perlu menunggu untuk melihat perkembangannya.
Ujarnya, bagaimanapun Perdana Menteri hanya memaklumkan amaun peruntukan kepada Ahli Parlimen akan diberikan pada kadar yang sama antara pihak kerajaan dan pembangkang.
“Bermakna setiap Ahli Parlimen mungkin menerima RM800,000. Ia jauh lebih rendah berbanding peruntukan diberikan oleh kerajaan terdahulu.
“Bagaimanapun kita menyambut baik kenyataan beliau dan mahu ia dipercepatkan bagi tujuan membantu rakyat terutama ketika Ramadan ini yang mana ramai rakyat amat memerlukan bantuan,” katanya.
Terdahulu, beliau turut melawat mangsa kebakaran melibatkan dua rumah di Kubang Kerian dan mendapati mereka sememangnya dihimpit kesusahan hidup serta benar-benar memerlukan bantuan.
“Kalau ada peruntukan berkenaan saya yakin sumbangan dapat disalurkan dengan lebih cepat. Tambahan pula dalam keadaan ekonomi kurang memberangsangkan ketika ini ramai rakyat yang dihimpit kesusahan hidup semakin terbeban,” tegasnya.-UTUSAN