JOHOR BAHRU: Agihan kerusi melibatkan parti komponen Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di tiga daripada enam negeri yang bakal mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi sudah 90 peratus selesai.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, tiga negeri tersebut merupakan negeri yang ditadbir PH, iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, manakala rundingan melibatkan tiga negeri lain sedang berjalan dengan lancar.
“Kita beri kebebasan kepada kepimpinan negeri masing-masing untuk mengadakan rundingan berkaitan agihan kerusi, Kedah antaranya sudah mengadakannya beberapa kali.
“Beberapa negeri baharu sahaja memulakan rundingan, kebiasaannya proses itu perlu diadakan beberapa kali sebelum sebarang persetujuan dapat dicapai secara sepakat,” katanya ditemui selepas melakukan tinjauan mengejut ke Pasar Awam Larkin Sentral, di sini hari ini.
Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai turut memberitahu, Amanah tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan rakan-rakan parti komponen menjelang PRN, termasuk dengan BN.
“Sebagai parti komponen dalam kerajaan, kita pastikan agihan kerusi dan calon-calon yang dikemukakan telah menerima persetujuan rakan-rakan, bukan sahaja PH, malah juga BN.
“Kita juga sedia menggempur tiga negeri yang dikata merupakan kubu kuat Perikatan Nasional (PN), iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu. Saya yakin di Kedah kita mempunyai peluang agak baik, Kelantan dan Terengganu kita akan letakkan calon berpotensi.
“Selepas Pilihan Raya Umum ke-12 lalu, tiada perkara yang statik dalam politik, semua boleh berubah. Jadi, tidak mustahil untuk kita lakukan penampilan terbaik di ketiga-tiga negeri berkenaan,” katanya. – UTUSAN