SUBANG JAYA: Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd. (Adabi) mengagihkan sebanyak 2,000 pek bubur lambuk kepada pelajar dan petugas Universiti Taylor sempena Ramadan.
Presidennya, Adrian Roslan berkata, bubur lambuk yang dihasilkan cukup istimewa kerana menggunakan resipi turun-temurun sejak 10 tahun lalu.
“Setiap tahun kami buat agihan bubur lambuk ini kepada orang ramai. Tetapi satu perkara yang perlu semua tahu, resipi bubur lambuk ini tidak pernah kami ubah sejak 10 tahun lalu sebagaimana yang disarankan oleh Pengerusi kami iaitu Datuk Syed Manshor Syed Mahmood.
“Dia berpesan agar resipi bubur lambuk itu harus dikekalkan dengan menggunakan empat bahan utama bagi mengekalkan rasa dan aroma terbaik bubur lambuk Adabi.
“Antara bahan yang digunakan adalah sup bunjut, perencah sup, serbuk kurma dan serbuk nasi goreng ayam Adabi. Jadi, kami pikul tanggungjawab itu untuk terus memelihara resipi warisan turun-temurun ini demi menjaga kualiti rasa dan aroma masakannya,” katanya pada program agihan bubur lambuk di Universiti Taylor di sini, semalam.
Program itu mendapat kerjasama penuh daripada rangkaian kedai serbaneka Korea Selatan, Emart 24 yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Vuitton Pang.
Program tersebut dijayakan oleh gabungan 50 tenaga kerja Adabi, Emart termasuk pelajar pelbagai bangsa dari Jabatan Pengajian Makanan dan Gastronomi Universiti Taylor.
Jelas Adrian, program yang sama juga dilakukan di 45 lokasi di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. – UTUSAN