Abai kebersihan: 120 peniaga Johor dikompaun - Utusan Malaysia

Abai kebersihan: 120 peniaga Johor dikompaun

LING TIAN SOON (dua dari kiri) dan Dr. Aman Rabu melihat notis kompaun yang dikenakan terhadap peniaga dalam operasi di Bazar Ramadan di Angsana Johor Bahru Mall.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pada masa ini, Bazar Ramadan memang antara lokasi tumpuan orang ramai untuk membeli pelbagai juadah berbuka puasa.

Namun, sebagai pengguna yang bijak, pastikan makanan dan minuman yang dibeli disediakan dengan bersih dan selamat untuk dimakan.

Ini kerana  sejak 1 Ramadan lalu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) telah mengeluarkan kompaun kepada 120 peniaga bazar Ramadan di negeri ini atas pelbagai kesalahan, khususnya melibatkan aspek kebersihan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, kompaun itu membabitkan nilai keseluruhan sebanyak RM23,000.

“Hingga 1 April, sebanyak 2,446 premis bazar Ramadan telah diperiksa JKNJ atau Pejabat Kesihatan Daerah dengan sebanyak 120 notis kompaun sudah dikeluarkan kepada peniaga. JKNJ akan memberi teguran terlebih dahulu terhadap peniaga yang didapati melanggar peraturan penyediaan makanan, sekiranya kesalahan sama masih berulang, baru kita kenakan kompaun.

“Antara kesalahan yang dilakukan peniaga adalah melibatkan aspek kebersihan, termasuk tidak memakai apron, tidak menutup kepala serta tidak menjaga kebersihan diri,” katanya selepas menyertai operasi JKNJ di Bazar Ramadan Angsana Johor Bahru Mall, di sini semalam yang turut disertai Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Aman Rabu.

Tian Soon berkata, operasi itu bertujuan memastikan proses penyediaan makanan di semua bazar Ramadan mematuhi peraturan Akta Makanan 1983, iaitu disediakan dengan bersih dan selamat untuk dijual dan dimakan.

“Dalam pada itu, kita turut membuat advokasi kepada orang ramai berhubung cara menyalurkan maklumat atau aduan dengan betul sekiranya mereka membeli makanan yang tidak bersih,” katanya sambil memaklumkan ramai pembeli membuat aduan dalam media sosial, sebaliknya mereka disaran untuk mengemukakan aduan lengkap kepada JKNJ supaya tindakan boleh diambil

“Sejak Ramadan bermula hingga kini, kita hanya menerima satu aduan yang dibuat secara rasmi mengikut saluran betul oleh pembeli teraniaya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya