5,900 hektar tanam semula diluluskan suku tahun pertama

5,900 hektar tanam semula diluluskan suku tahun pertama

NORAINI Ahmad (empat dari kanan) bergambar bersama penerima sumbangan pada Majlis Santunan Kasih Iftar Ramadan RISDA di Ibu Pejabat RISDA, Kuala Lumpur. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) sudah meluluskan sejumlah 5,900 hektar permohonan tanam semula getah setakat bulan April ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, kelulusan permohonan tanam semula getah yang dicatatkan pihaknya menunjukkan prestasi pada tahap 29.5 peratus untuk suku pertama tahun ini.

Katanya, keseluruhan permohonan tanam semula yang diterima setakat ini sudah pun mencapai 12,000 hektar.

Jumlah permohonan yang tinggi mempercepatkan sasaran RISDA untuk mencapai jumlah penanaman sebanyak 20,000 hektar pada tahun ini.

Noraini berkata, peningkatan permintaan pekebun kecil itu disokong melalui pelbagai bantuan yang disediakan kerajaan menerusi RISDA.

“Permohonan tanam semula getah itu diluluskan dengan mengambil kira syarat dan terma ditetapkan sama ada melalui permohonan tanam semula atau permohonan tanam baharu.

“Walaupun senario semasa komoditi getah menunjukkan ketidakstabilan harga dan penurunan produktiviti, namun melalui bantuan percuma yang diwujudkan, ia masih mendapat sambutan terutamanya dalam kalangan pemilik kebun berkeluasan bawah 2.5 hektar,” katanya pada Majlis Iftar Ramadan RISDA 2023, di sini.

Pada majlis itu, RISDA melalui Yayasan RISDA menyampaikan sumbangan sebanyak RM200 kepada warganya dalam kalangan kakitangan sokongan Gred 16 ke bawah membabitkan 470 orang.

Selain itu, Yayasan RISDA turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM3,000 kepada empat institusi iaitu Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Asnaf Qaseh Ibu, Rumah Kebajikan Baitul Ehsan, Madrasah Tahfiz Al-Quran Darul Madad serta Surau Al-Mukmin Desa Pasifik.

Mengulas lanjut Noraini berkata, pelbagai pakej ekonomi disediakan RISDA bagi membantu 552,543 pekebun kecil menjadikan penanaman semula getah sentiasa mendapat perhatian pemilik kebun.

“Pada tahun ini, kerajaan menyediakan bajet pembangunan keseluruhan bernilai RM676.4 juta. Bagi produk utama RISDA iaitu penanaman semula getah pula memperuntukkan sebanyak RM191.3 juta.

“Jumlah itu melibatkan ka­­dar bantuan tanam semula sehek­­tar bernilai RM13,710 bagi Semenanjung, RM14,805 bagi Sarawak dan RM14,955 bagi Sabah,” katanya.

Bagi menambah pendapatan pekebun, Noraini berkata, RISDA menyediakan produk sokongan seperti Program Aktiviti Ekonomi Tambahan dan Keusahawanan serta Program Agromakanan yang masing-masing memperuntukkan dana sebanyak RM44.46 juta dan RM30 juta.

“Selain itu, pakej bantuan yang turut disediakan adalah Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) bernilai RM63.75 juta kepada 318,642 pekebun kecil serta bantuan lain bagi menyokong proses penanaman semula getah bermula daripada pering­kat penanaman getah muda sehinggalah ke pengurusan getah matang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya