50 PoP di Johor, tingkat kualiti internet luar bandar - Utusan Malaysia

50 PoP di Johor, tingkat kualiti internet luar bandar

TEO NIE CHING (tengah) mengedarkan bubur lambuk dan kurma kepada orang ramai termasuk para penuntut di UTM, Skudai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sebanyak 50 hab rangkaian gentian optik titik kehadiran atau ‘Point of Presence’ (PoP) akan disiapkan di negeri menjelang November ini demi meningkatkan kualiti rangkaian internet.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, pemasangan gentian optik itu bukan sahaja berupaya meluaskan liputan infrastruktur jalur lebar di kawasan sekolah luar bandar, malah turut melibatkan kawasan penduduk di sekitarnya.

“Dalam Belanjawan 2023, kerajaan telah umumkan peruntukan RM725 juta untuk projek Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) dan sasaran kita di Johor adalah untuk wujudkan 50 PoP di bawah peruntukan ini.

“Sebenarnya PoP patut siap akhir tahun lalu, namun hingga hari ini tiada satu yang telah disiapkan. Jadi, kami telah beri sasaran baharu, iaitu selewat-lewatnya 30 November tahun ini perlu disiapkan 50 PoP oleh kontraktor dilantik.

“Antara isu menyebabkan projek itu tidak dapat disiapkan tahun lalu adalah kerana menunggu kelulusan agensi berkaitan,” katanya ditemui selepas meninjau Bazar Ramadan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini semalam sambil mengedarkan bubur lambuk dan kurma.

Justeru, Nie Ching berkata, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri bagi memastikan kelulusan diperoleh secepat mungkin, sekali gus mencapai sasaran 50 PoP menjelang November ini.

Sementara itu, beliau turut memberitahu, liputan rangkaian 4G di  kawasan berpenduduk di negeri ini setakat suku keempat tahun lalu telah mencapai tahap 99.09 peratus, manakala liputan 5G pula mencapai 52.3 peratus.

“Dalam pada itu, KKD meminta pihak institusi pengajian tinggi untuk membuat aduan sekiranya masih terdapat masalah liputan internet di kawasan kampus mereka. Tahun lalu memang kita ada terima beberapa aduan, tetapi bermula tahun ini masih tiada dan saya harap rangkaian internet di kawasan kampus semua lancar,” katanya sambil menegaskan pasukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan dihantar bagi mengenal pasti punca capaian internet di sesebuah kampus kurang memuaskan sekiranya. ada aduan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN