KUANTAN: Seramai 336 peserta E-Kasih Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Pasfa) di sembilan daerah di negeri ini menerima dividen Ladang Usahasama Integrasi Lembu dan Sawit PPRT Bukit Gayong sebanyak RM8,458 seorang hari ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bayaran dividen ini adalah bagi tahun 2020 dan 2021 melibatkan jumlah keseluruhan pembayaran RM 2.841 juta.
Beliau berkata, selain peserta terlibat, turut menerima dividen, Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (PSK) berjumlah RM5.722 juta.
“Sepanjang tempoh projek ini berjalan iaitu sejak 2004 sehingga kini, setiap peserta sudah menerima bayaran dividen berjumlah RM23,415 seorang atau secara keseluruhannya berjumlah RM7.867 juta,” katanya pada Majlis Pembayaran Dividen Ladang Usahasama Integrasi Lembu dan Sawit PPRT Bukit Gayong Kepada Peserta E-Kasih Pasfa di Dewan Datuk Seri Abdul Manan Ismail di sini.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri memberi tanah kepada PSK pada 2004 sebanyak 1,600 hektar bagi dibangunkan oleh pihak Pasfa.
“Alhamdulillah, Pasfa mampu membangunkan dan menjaga tanah tersebut dengan membangunkan ladang-ladang sawit dan boleh memberikan pulangan kepada para peserta.
“Ini menunjukkan kerajaan negeri dari dulu hingga kini sentiasa memikirkan cara bagaimana untuk membantu rakyat seperti mana hari ini.
“Kalau kerajaan negeri tidak bagi tanah pada 2004, hari ini peserta-peserta seramai 336 orang ini tidak mungkin akan mendapat dividen sebanyak RM8,458,” katanya.
Beliau berharap dividen diterima dapat meringankan beban kewangan para peserta projek tersebut.
“Ini adalah satu jumlah yang besar dan bukan sahaja meringankan bebanan kewangan mereka tapi saya percaya mereka boleh merancang membuat apa jua program untuk keluarga dan diri mereka.
“Ini kerana kita percaya dengan bantuan ini kita boleh meringankan dan menceriakan lagi mereka bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi,” katanya. – UTUSAN