BATU PAHAT: Sebanyak 1,003 jenis barang keperluan dapur dan harian diberikan potongan harga antara tiga hingga 50 peratus di Pasaraya Econsave di seluruh negara bermula 1 Mac lalu hingga 30 April ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, penurunan harga seperti itu memberi kesan sangat besar kepada kemampuan rakyat untuk berbelanja sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
“Hasil taklimat yang diberikan, semua barang keperluan yang berhadapan masalah kekurangan bekalan sebelum ini juga sudah pulih sepenuhnya.
“Tinjauan juga mendapati pemain industri mampu menurunkan harga bekalan lebih rendah daripada harga siling ditetapkan,” katanya selepas merasmikan Program Edaran Bubur Lambuk dan Agihan Baucer Rahmah di Pasaraya Econsave Yong Peng, dekat sini hari ini.
Yang turut hadir, Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan; Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Azman Mohd. Yusof dan Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam.
Salahuddin berkata, sokongan daripada pemain industri pada ketika ini amat menggalakkan dan semakan juga mendapati tiada peniaga yang menjual barangan kawalan seperti ayam yang melebihi harga siling.
Pada majlis tersebut, sebanyak 100 keluarga yang terjejas akibat bencana banjir baru-baru ini menerima Baucer Rahmah bernilai RM200 untuk membeli barangan keperluan di Pasaraya Econsave Yong Peng ini. – UTUSAN