KOTA TINGGI: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan melantik bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah telah menyerahkan watikah pelantikan itu kepada Asyraf Wajdi di pejabat kementeriannya pada Jumaat lalu.
“Bukan desas desus lagi, telah lantik dan saya sudah beri watikah pada Jumaat yang lalu. Gambar (tular) sahih. Pelantikan dibuat di kementerian,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Bandar Penawar hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi: Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani dan Pengurus Besar Kejora, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus.
Terdahulu tular gambar Ahmad Zahid menyerahkan watikah pelantikan kepada Asyraf Wajdi dalam satu majlis yang berlangsung di kementeriannya yang mengundang pelbagai kritikan.
Rata-rata orang ramai mempertikaikan kedudukan Asyraf Wajdi yang masih memperoleh jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) meskipun tewas dalam pilihan raya lalu.
Gambar tersebut juga menjadi pertikaian ekoran lantikan politik yang dilakukan di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Terdahulu Asyraf Wajdi yang merupakan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak mempertahankan jawatan Ketua Pemuda UMNO dalam pemilihan kali ini turut memaklumkan beliau kini sedang mencari kerja. – UTUSAN