UMP meterai MoU dengan CPSC tingkat kebolehpasaran lulusan TVET - Utusan Malaysia

UMP meterai MoU dengan CPSC tingkat kebolehpasaran lulusan TVET

YUSERRIE Zainuddin (duduk, dua kanan) menandatangani MoU bersama Prof G.L.D Wickramasinghe di Manila, Filipina. - GAMBAR IHSAN UMP PAHANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) menjalinkan kerjasama dengan Colombo Plan Staff College for Technician Education (CPSC) di Filipina yang merupakan badan penyelaras pelaksanaan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) di rantau Asia Pasifik.

Kerjasama ini memberi ruang dalam meningkatkan Kebolehpasaran Graduan (GE) lulusan TVET UMP melalui beberapa strategi nilai tambah ke arah mendapatkan pengiktirafan sebagai institusi pendidikan tinggi (IPT) TVET peringkat global.

UMP diwakili oleh Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin dan Penolong Naib Canselor Bahagian Pembangunan TVET, Profesor Dr. Abdullah Ibrahim.

CPSC diwakili oleh Ketua Pengarahnya, Profesor G.L.D. Wickramasinghe, Pakar Fakulti Kanan, Dr. Mian Khuram Ahsan dan Penasihat Fakulti, Dr. Kesavan Ulaganathen.

Menurut Yuserrie, pertemuan itu juga menyaksikan pelaksanaan TVET melalui perspektif yang berbeza daripada beberapa buah institusi TVET.

“Melalui kunjungan ini, UMP berpeluang mengadakan perbincangan yang antara lain termasuk laluan bagi mobiliti pelajar, sangkutan staf, latihan industri dan latihan staf,” katanya.

Turut sama Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Profesor Dr. Che Ku Mohammad Faizal Che Ku Yahya, Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Profesor Dr. Mahadzir Ishak dan Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Profesor Madya Dr. Hamdan Daniyal.

Selain itu, lawatan ke Manila turut bakal merealisasikan usaha UMP dalam memperkasa pelaksanaan program TVET di samping dapat meningkatkan kecekapan dan keupayaan tenaga pengajar untuk melahirkan graduan yang berkualiti tinggi serta memenuhi keperluan industri pada masa depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya