REMBAU: Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyasarkan 10 peratus graduan universiti itu di Negeri Sembilan untuk bergelar usahawan muda digital melalui manfaat program Lazada4Youth.
Rektor UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Prof. Dr. Yamin Yasin berkata, pihaknya berterima kasih kepada pihak Lazada Malaysia yang membantu pelajar UiTM di dalam bidang keusahawanan menerusi program berkenaan.
Jelas beliau, program yang diisi dengan pelbagai aktiviti termasuk perkongsian kisah kejayaan individu yang menceburkan diri dalam bidang keusahawanan digital bersama platform e-dagang terkemuka itu diharap dapat melahirkan lebih banyak lagi usahawan digital dari UiTM.
“Berdasarkan tinjauan awal kami, lebih 100 orang pelajar yang masih menuntut di UiTM Cawangan Negeri Sembilan ini merupakan usahawan dalam talian.
“Mereka menggunakan platform media sosial masing-masing untuk menjual produk seperti tudung dan kosmetik. Kami harap dengan siri bengkel yang dilaksanakan oleh pihak Lazada Malaysia ini, lebih ramai lagi pelajar dapat secara konsisten dalam aktiviti keusahawanan digital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Majlis Perasmian Penutup Program Lazada4Youth di UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau, di sini, hari ini.
Yang hadir sama, Ketua Pegawai Sumber Manusia Lazada Malaysia, Azian Ahmad.
Pada majlis tersebut, Lazada Malaysia dan UiTM menandatangani memorandum persefahaman (MoU), Lazada4Youth iaitu inisiatif yang dirangka khas untuk merangsang keusahawan digital dan daya inovasi dalam kalangan belia di Malaysia.
Ia menampilkan beberapa siri bengkel untuk usahawan digital muda, dengan peluang untuk menyertai Lazada sebagai penjual baharu atau ahli sekutu gabungan pemasaran digital.-UTUSAN.