JOHOR BAHRU: Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim menerbangkan sendiri helikopter ke Chaah, Segamat membawa bekalan makanan serta barangan kebersihan diri untuk mangsa banjir.
Tunku Idris Iskandar berlepas dari lapangan helikopter Istana Bukit Serene, di sini pada pagi tadi sebelum mendarat di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bali.
Sejurus mendarat, Tunku Idris Iskandar turut membantu memunggah barangan tersebut daripada helikopter berkenaan.
Pengagihan bekalan makanan dan barangan kebersihan diri kemudian dilakukan pegawai serta sukarelawan Jawatankuasa Khidmat Masyarakat dan Kesihatan Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia.
Chaah antara kawasan yang terjejas teruk dengan lebih 2,100 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas penempatan mereka dinaiki air.
Tunku Idris Iskandar yang aktif dalam kerja-kerja khidmat masyarakat turut merancang menghantar bekalan makanan dan bekalan air bersih menggunakan helikopter ke Kampung Peta, Mersing esok.
Setakat pukul 12 tengah hari tadi, jumlah mangsa banjir di Johor meningkat menjadi 26,633 orang melibatkan 7,311 keluarga yang ditempatkan di 193 PPS. – UTUSAN