KUALA KRAI: Seorang tukang rumah dicekup selepas dipercayai membawa selaras senapang patah buatan sendiri dan 60 biji pil kuda semasa memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) di sekatan jalan raya (SJR) di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krai di sini kelmarin.
Suspek berusia 39 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah ditahan semasa memandu MPV jenis Perodua Alza ke tempat kerjanya di Gua Musang dekat sini kira-kira pukul 10.30 malam.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, pemeriksaan di dalam MPV itu menemui selaras senapang patah buatan sendiri bersama 32 butir peluru hidup jenis 12 bore.
Menurutnya, polis turut menemui sebanyak 60 biji pil kuda bernilai RM600 yang dipercayai akan dijual kepada penagih dadah.
“Siasatan lanjut mendapati, suspek memperoleh kesemua pil kuda itu di Tanah Merah. Lelaki itu juga dipercayai aktif menjalankan kegiatan pengedaran pil tersebut sejak Januari lalu.
“Senapang patah yang dijumpai itu merupakan senjata api buatan sendiri dan suspek dipercayai menggunakannya untuk tujuan memburu haiwan di hutan bermula April tahun lalu sehingga hari ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai di sini hari ini.
Suzaimi memberitahu, suspek dipercayai membeli 32 butir peluru hidup itu daripada kenalannya di negara jiran dan senjata api itu juga digunakan untuk kegiatan pengedaran dadah.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati, suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah dan direman selama tujuh hari bermula semalam.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15(1)(a) akta sama, Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960,” ujarnya.-UTUSAN